Thursday, May 6, 2010

Bab 1 [Tinggal dahulu]

Sejak tengahari tadi, sebaik matahari tegak memacak di kepala, kereta milik Tuan Omar menderu membelah lebuhraya.

Selepas singgah berhenti lelah di kawasan rehat, dia meneruskan perjalanan hingga tiba di susur keluar ke Jasin, terus membayar tol dan kereta meluncur laju mengambil simpang ke kanan.

Tuan Omar menekan pedal minyak seadanya, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Jalan yang lebih sempit, sekali-sekala keretanya berselisih dengan lori yang membawa muatan pasir. Petanda ada projek pembangunan di sekitar kawasan pinggir bandar ini.

Dalam cermat, Tuan Omar meneruskan perjalanan yang masih berbaki lebih daripada 30 kilometer sebelum tiba di rumah ibunya.

Walaupun jarang benar dia pulang sejak akhir-akhir ini, jalan menghala ke kampung masih terang dalam ingatan.

“Syukur kepada Tuhan,” suara hati mengucapkan terima kasih kepada Tuhan

Tuan Omar bersyukur dia akan keluar daripada suasana sibuk bandar. Dia sekeluarga akan dibawa jauh ke suatu daerah yang ada rasa tenang.

Dalam berjuta orang yang tinggal di bandar sejak sekian lama, Tuan Omar mendapat tawaran berpindah tempat kerja. Dari bandar Kuala Lumpur ke pinggir bandar Melaka.

Beliau sendiri bersetuju untuk berpindah tempat kerja itu. Tuan Omar berasa ini adalah nikmat yang tidak tergambar. Hatinya berbunga, dalam beberapa bulan nanti, dia, isteri dan anak-anaknya akan menghirup semula damai kampung.

“Meskipun sudah ada pembangunan kecil-kecilan, tenang masih setia di situ,” kata Tuan Omar kepada isterinya sebaik sahaja berkongsi khabar gembira tersebut.

Kata-kata Tuan Omar membuat isterinya tersenyum. Gaya bercakap yang tenang dan memilih perkataan-perkataan seperti pengkarya. Jika orang berkata dia pakar bahasa dan sastera, lain pasti percaya.

Perjalanan hari itu lancar, cuma sesekali diganggu oleh pekik enjin lori yang mengaum sebaik berselisih di jalanan. Kereta Tuan Omar yang kedap bunyi itu memang selesa. Hingga melenakan dua orang anaknya, Haeqal dan Khadijah di kerusi belakang. Tali pinggang keselamatan tetap terkunci kemas memastikan keselamatan kedua-dua anak mereka.

Di sisi mereka ada dua buku yang ternganga. Agaknya ralit membaca hingga tertidur. Sekali sekala mereka bergaduh memilih buku kegemaran. Adakalanya Tuan Mohamad perlu membeli dua buah buku judul yang sama semata-mata bagi memastikan mereka tidak berkelahi. Cuma keputusan itu jarang dibuat .

Tuan Mohamad mendapat idea baru. Jika mereka berebut buku, pada masa akan datang kedua-duanya tidak mendapat buku pilihan mereka. Akhirnya Haeqal dan Khadijah bertolak ansur. Mereka tahu mereka akan rugi jika berebut.

Haeqal mempunyai kegemaran sendiri. Beliau suka kepada internet. Dia sukakan kepada benda baru yang ditemui dalam internet. Dia membaca buku mengenai internet pembelian ayah. Kemudian mencuba-cuba berkawan dengan rakan ditemui di internet.

Pernah sekali rumah kecoh seketika apabila kurier menghantar pakej barang yang dihantar dari Australia. Ini gara-gara Haeqal membuat pesanan rantai kunci berhias patung koala daripada rakan sibernya. Dibawanya ke sekolah dan dijual semua set. Para pelajar suka dan memesan. Tetapi itulah pesanan terakhir kerana apa yang diperolehi dari Australia adalah pemberian rakan di sana.

Berbeza dengan Khadijah, adik yang suka mengusik abangnya. Minat kepada hiasan manik membuat si kecil ini leka. Beliau suka menghias dengan menyusun hiasan manik sehingga membentuk corak yang cantik.

Kenderaan bergerak tenang tanpa perlu menunggu lama, kelajuan dikekalkan.

“Ramai yang belum pulang ke kampung. Cuti sekolah pun baru bermula. Ramai masih sibuk dengan urusan di tempat kerja. Kasihan anak-anak mereka, terpaksa setia dengan kota demi melayan tuntutan ibu bapa,” Puan Shamsiah membuka topik perbualan baru dalam kenderaan.

“Minggu depan, pasti sesak jalan ini. Sebab itu abang minta Haeqal dihantar awal ke kampung.” Balas Tuan Omar pendek.

Isterinya mengangguk tanda setuju.

Di kiri kanan, segerombolan kanak-kanak ligat mengayuh basikal.

Puan Shamsiah setia membuka topik-topik perbualan baru agar suaminya tidak mengantuk semasa memandu. Kadang-kadang dia yang mengopek kulit buah limau dan disuapkan ke mulut suaminya. Jarang benar dia tertidur semasa perjalanan jarak jauh walaupun semalaman penat berkemas dan membuat persiapan, kerana dia tahu suaminya perlukan teman.

Dua orang anaknya di belakang, dalam tidur mereka sudah sampai entah ke mana. Mungkin sudah sampai di kampung agaknya.

Kata Tuan Omar, “Sepanjang tempoh cuti persekolahan, Haeqal akan ditinggalkan sebentar di kampung. Mudah kita uruskan perpindahan rumah.

Puan Shamsiah mendiamkan diri.

Kereta mula memasuki laman rumah ibunya. Bersih, rumput terpotong rapi. Di tepi-tepi tangga kayu rumah itu, tersusun pasu-pasu yang memuatkan bougainvillea menjulang setinggi paras dada dewasa.

Ibunya menyambut riang kepulangan mereka sekeluarga. Khadijah tersedar dari tidur secara tiba-tiba apabila kereta yang tadi laju meluncur kini berhenti perlahan-lahan.

Haeqal masih belum terjaga. Susah benar dia bangun dari tidur melainkan diletakkan ketulan air batu pada ibu jari kaki. Begitulah kebiasaan yang dilakukan Tuan Omar.

Haeqal ditinggalkan dalam kereta sementara Puan Shamsiah memapah Khadijah yang masih menahan mengantuk. Enjin kereta tidak dimatikan, penghawa dingin dibiarkan menghembus Haeqal yang masih ketiduran.

Di luar, udara panas menyengat. Petang belum berlabuh, namun redup pokok yang tegak berdiri di laman rumah sedikit sebanyak mampu meneduhkan.

“Abang, saya bimbang jika Haeqal di kampung seorang diri. Beliau bukan ada rakan di sini,” rasa gelisah jelas di wajah Puan Shamsiah.

Tuan Omar tenang, sambil tangan kanannya mengupas kulit buah mangga. Sesekali dia membetulkan kopiah nipis yang menempel di kepala dengan kura tangan kirinya yang sedang memegang buah mangga.

Puan Shamsiah mengalih duduknya merapati pinggan berisi buah mangga.

Di suatu sudut, Nenek Pun, ibu Tuan Omar bersandar di kerusi rotan sambil mendengar bual mereka suami isteri.

Kata Tuan Omar, “Kita campak ke mana sahaja, dia akan menjadi dia, dan orang sekelilingnya akan menjadi seperti dia,” ada nada tegas dari suara Tuan Omar.

“Apa! Campak?” Puan Shamsiah terkejut.

Tersenyum Tuan Omar, “Maksud saya ke mana sahaja kita tempatkan Haeqal, begitulah dia.”

Puan Shamsiah ketawa kecil, kali ini menjadi pula dia mengusik suaminya. Tiada kata yang mampu dihujah apabila suaminya mula bermain kata. Walaupun Puan Shamsiah pandai untuk bermain kata di wilayah yang sama, dengan suami, dia tunduk mengunci suara.

“Di mana Haeqal?” tanya Nek Pun.

Tuan Omar melihat melalui tingkap, “Haeqal sudah tidak ada dalam kenderaan.”

Puan Shamsiah terdiam.

Dari jauh, dua pasang mata memerhati kepulangan Haeqal ke kampung. Tubuh genit kedua-dua budak lelaki itu saling rapat-merapati antara satu sama lain.

Kaki mereka menjinjit lalu menyangkut dagu di beranda kayu rumahnya, menjungat untuk melihat dengan lebih jelas.

Haeqal sudah mula bangun dari tidur dan keluar dari kereta. Tuan Omar mematikan enjin kereta lalu menyangkut tangan ke bahu Haeqal menghalakannya ke tangga rumah.

Haeqal masih dalam keadaan separa khayal, matanya berpinar-pinar dek terang mentari yang menerangi selepas gelap pejam dibuka.

Salah seorang daripada budak lelaki yang melihat dari jauh bertanya, “Siapa?”

Jawab seorang lagi, “Haeqal.”

Tangan salah seorang daripada mereka menyelak tikar mengkuang yang tergantung sebaik ditiup angin, sambil dua pasang mata itu terus memerhati sehingga Haeqal hilang dari pandangan.

Mereka kenal Haeqal, pernah bermain bersama walaupun jarak umur jauh berbeza. Cuma mereka hanya berpeluang berjumpa sekali-sekala sahaja.

Haeqal mengambil cermin mata dari poket baju kemejanya dan diletakkan di meja lalu dia menghempaskan badan di kerusi panjang berkusyen. Masih ada rasa ingin menyambung tidur. Kantuk masih berbaki.

Sejak minggu lepas, dia sudah tahu tentang permintaan ayahnya supaya dia menetap sementara di rumah neneknya sementara menunggu proses perpindahan ke rumah baru di pinggir kota Melaka.

Sebentar lagi atau malam nanti, ayah dan ibunya akan pulang semula ke Kuala Lumpur dan dia akan keseorangan ditemani neneknya.

Anak mata Puan Shamsiah mengekori gerak langkah Haeqal hingga dia rebah semula di kerusi. Tangannya bersama tangan Khadijah ralit merebut potongan-potongan kuning hijau buah mangga. Colek yang dibuat sendiri oleh neneknya dicecah, Khadijah menjilat sisa-sisa colek yang terlekat di celah jari.

“Padan muka abang, perlu tinggal di kampung. Adik boleh balik ke rumah selepas ini,” Khadijah mula bermain api dengan Haeqal. Masih, api kecil.

Haeqal membuka sedikit mata, hanya sebelah yang terbuka. Sebelah lagi matanya terbenam ke dalam kusyen empuk. Dia menutup kembali matanya.

“Padan muka.” Khadijah mengulang kembali, sambil menjelir lidah menjebik bibir.

Tingkah laku adiknya cepat disedari Tuan Omar.

“Adik, usah ganggu abang tidur. Kelak dia marah.” Amaran pertama dari ayah. Haeqal buat-buat tidak dengar gurauan adiknya.

“Selepas ini, abang Haeqal pasti ikut bermain basikal dengan budak-budak kampung,” Khadijah tidak mahu mengalah, terus dia memulakan gurau serius dengan abangnya. Ibunya mencuit sambil menekap jari telunjuk tegak di bibir, memberi ingatan terakhir.

Tiba-tiba Haeqal bingkas bangun, berserta kusyen yang sudah diangkat tinggi-tinggi untuk dihempap ke atas badan adiknya. Cepat-cepat Khadijah menyusup di sisi lengan Puan Shamsiah.

Dengan muka penuh marah, Haeqal melepaskan geram yang terhimpun.

“Jika tiada kerja, maka jangan cari fasal. Orang hendak tidur pun tidak senang!” bergalau seketika seisi rumah.

“Bukankah ibu sudah beritahu tadi. Abang Haeqal kepenatan,” Puan Shamsiah memeluk Khadijah dengan lengannya kemudian memujuk Haeqal.

“Nenek, jika saya datang lagi, sediakan buah mangga banyak-banyak ya,” Khadijah mahu bermanja-manja dengan neneknya. Ibunya tersenyum.

“Buah mangga sudah berkurangan di kampung ini.”

Tuan Omar memandang ibunya. Begitu juga Puan Shamsiah.

No comments:

Post a Comment