Wednesday, May 19, 2010

Bab 9 [Sekutu Baru]

Suasana kelas sungguh senyap. Hanya suara Cikgu Wong Siao Yen yang kedengaran. Beliau sedang mengajar anak muridnya yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah tidak lama lagi. Sejak akhir-akhir ini, Cikgu Wong sentiasa membuat kelas tambahan pada setiap hujung minggu.

Asyraf dan Juwaini berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu kelas tersebut. Mereka sudah berjanji untuk berjumpa dengan Cikgu Wong selepas kelas tambahan berakhir. Mereka serba salah. “Abang lah jalan di depan.” Kata Juwaini kepada Asyraf.

Cikgu Wong merupakan guru Sains di Sekolah Kebangsaan Pokok Mangga, tempat di mana Asyraf dan Juwaini bersekolah. Dalam masa yang sama, Cikgu Wong juga mengajar subjek Kemahiran Komputer.

Subjek Kemahiran Komputer adalah subjek wajib bagi pelajar di sekolah tersebut kerana Pengetua sekolah mahukan semua pelajarnya menguasai asas penggunaan internet. Walaupun sekolah mereka berada di pinggir bandar, namun sekolah itu mahu melahirkan pelajar yang serba boleh dalam segala bidang.

Asyraf dan Juwaini menyandar di pintu hadapan. Tibat-tiba pintu tersebut tertolak dan engselnya berbunyi. “Isy, jangan lah buat bising. Cikgu sedang mengajar tu.” Asyraf memarahi Juwaini.

“Alah, dia yang menyandar di pintu. Mahu salahkan orang lain pula.” Jawab Juwaini. Asyraf tidak mempedulikan Juwaini yang sedang kemarahan.

Setelah Cikgu Wong selesai mengajar, dia duduk di meja guru dan memanggil kedua-dua kembar itu masuk ke dalam kelas.

“Asyraf, Juwaini. Mari masuk.” Semua pelajar yang berada dalam kelas itu memandang kea rah pintu.

“Abang lah yang masuk dahulu.” Juwaini menolak badan Asyraf.

“Adik lah. Abang tak biasa bercakap dengan Cikgu Wong.” Asyraf cuma mencari alasan. Cikgu Wong memerhatikan gelagat mereka yang teragak-agak untuk masuk ke dalam kelas.

“Isy, harap saja jadi abang. Tapi penakut.” Juwaini melangkah masuk ke dalam kelas. Asyraf mengikutinya dari arah belakang.

Kelas yang tadi sunyi sepi kini bertukar menjadi hingar. Para pelajar sudah mula mengemas buku dan alat tulis masing-masing. Bunyi seretan kaki kerusi di atas lantai simen kedengaran di sana-sini. Ada pelajar yang sudah melangkah keluar dari kelas untuk pulang ke rumah. Pelajar-pelajar perempuan yang menyedari kehadiran Asyraf dan Juwaini memerhatikan mereka.

“Cikgu, kami ada satu permintaan.” Juwaini memulakan perbualan dengan Cikgu Wong.

“Hah, jangan minta yang pelik-pelik.” Kata Cikgu Wong.

Juwaini dan Asyraf tersengih menampakkan gigi. Pelajar yang duduk berhampiran dengan meja guru berhenti mengemas beg, dan mereka mula mendengar apa yang dibincangkan oleh Cikgu Wong bersama Asyraf dan Juwaini.

“Begini, cikgu. Kami sudah berjumpa dengan Ustaz Fauzi, minta supaya dibuka semula Pusat Internet Desa. Tapi, Ustaz Fauzi minta kami carikan seseorang yang boleh menjadi pemantau kepada Pusat Internet Desa.” Juwaini menerangkan secara ringkas.

Sambil mengemas buku-bukunya, Cikgu Wong memandang muka Juwaini. Juwaini menjadi serba salah. Katanya lagi, “Jika tidak keberatan, kami mahu minta tolong Cikgu Wong untuk menjadi pemantau Pusat Internet Desa.”

Di hadapan meja guru, semakin ramai pelajar yang berkumpul untuk mendengar perbualan mereka. “Kamu mahu buat aktiviti apa di Pusat Internet Desa?” tanya Cikgu Wong.

“Kami mahu gunakan kemudahan internet untuk buat blog. Blog itu digunakan untuk menjual tikar mengkuang ibu.” Tambah Juwaini. Asyraf hanya mendengar sambil matanya terkelip-kelip. Sesekali Asyraf memandang pelajar-pelajar yang turut memerhati perbualan mereka.

Cikgu Wong kelihatan tidak yakin dengan Juwaini dan Asyraf. “Cikgu bukannya apa. Cuma takut kamu salah guna kemudahan internet saja. Kamu semua masih bersekolah rendah.”

“Boleh lah, cikgu. Kami cuma mahu bantu ibu kami berniaga tikar mengkuang. Kami mahu gunakan internet sebagai tempat promosi.” Akhirnya Asyraf bersuara.

Cikgu Wong sedikit terkejut. Bagaimana mereka berdua boleh mendapat idea untuk menggunakan internet sebagai tempat mempromosi barang perniagaan? Cikgu Wong semakin pelik dengan permintaan Juwaini dan Asyraf.

Tibat-tiba, pelajar lain yang turut mendengar perbualan mereka mencelah. “Alah, kamu berdua ini, hanya hangat-hangat tahi ayam. Mula-mula memang bersemangat.”

Asyraf melihat pelajar itu. Dia berasa sedikit geram. Lalu dia menjawab ejekan pelajar itu. “Belum cuba, belum tahu. Bagilah kami peluang.”

“Macam lah pandai sangat kamu berdua guna komputer.” Tiba-tiba salah seorang pelajar mencelah. Juwaini dan Asyraf memandang pelajar tersebut.

Seorang pelajar lain turut mencelah. “Entah-entah dia mahu main game di Pusat Internet Desa kan?” Dia memandang kawannya dan mendongak-dongak seperti meminta persetujuan pelajar lain.

Beberapa orang pelajar tertawa kecil. Asyraf dan Juwaini geram melihat mereka yang iri hati dengan mereka.

“Kami cuma mahu menggunakan kemudahan internet untuk perniagaan ibu kami,” Juwaini cuba menjawab tuduhan tersebut.

“Macam lah pandai sangat mereka guna internet,” Seorang lagi pelajar turut mengejek mereka berdua.

“Kami ini orang susah. Ayah kami sudah lama meninggal dunia. Kami mahu guna internet untuk bantu ibu kami berniaga tikar mengkuang. Ada kami menyusahkan kamu semua?” Asyraf sudah hilang sabarnya. Dia hampir meninggikan suara, tetapi dia sangat menghormati Cikgu Wong yang berada di depannya.

“Sudah, sudah. Jangan bergaduh di sini. Siapa yang kamu bawa itu, Asyraf.”

Cikgu Wong menunjukkan ke arah luar pintu kelas.

Asyraf hampir terlupa yang dia turut membawa Haeqal datang ke sekolah. Dia menjemput Haeqal, “Abang Haeqal, masuklah. Cikgu panggil masuk.”

“Ini Abang Haeqal, cikgu. Dia baru pindah ke kampung sementara musim cuti sekolah tamat. Tidak lama lagi ayah Abang Haeqal akan berpindah ke Melaka.” Juwaini menerangkan serba sedikit tentang Haeqal kepada Cikgu Wong.

Haeqal tersenyum dan dia bersalam dengan Cikgu Wong.

Asyraf menambah, “Cikgu, Abang Haeqal pandai guna internet. Sepanjang minggu lepas, dia ajarkan kami bagaimana mahu bina blog sendiri.”

“Mari saya bawakan kamu semua ke makmal komputer.” Cikgu Wong bangun dan mengemas bukunya. Sebelum mereka keluar dari kelas, Cikgu Wong sempat berpesan, “Pelajar lain boleh terus pulang ke rumah.”

Mereka berjalan melalui koridor berbumbung. Asyraf dan Juwaini menampar-nampar tiang besi disepanjang koridor tersebut. Mereka sedang memikirkan bagaimana mahu memujuk Cikgu Wong.

“Nama bapa kamu siapa, Haeqal?” Cikgu Wong bertanya kepada Haeqal.

“Mohamad Omar Bin Saad. Bapa saya memang asal dari Kampung Pokok Mangga. Cikgu kenal bapa saya?”

Muka Cikgu Wong berkerut-kerut. Dia cuba untuk mengingati nama tersebut. Cikgu Wong bertanya lagi, “Bapa kamu pernah sekolah di sini? Dia selalu pakai kopiah bulat kan?”

Haeqal mengangguk kepalanya. “Oh, kebetulan. Cikgu memang kenal ayah awak. Dia rakan satu sekolah dengan cikgu semasa waktu sekolah dahulu.”

Haeqal tersenyum. Rupa-rupanya mereka kawan baik. Nampaknya ada harapan untuk Cikgu Wong memberi bantuan kepada mereka untuk menjadi pemantau Pusat Internet desa.

Mereka tiba di makmal komputer yang terletak di antara bilik guru dan kantin sekolah. Di luar makmal komputer dua tingkat itu, terdapat hiasan-hiasan bunga dan pancuran air terjun mini. Haeqal, Asyraf dan Juwaini bermain-main di sekitar air terjun mini sementara Cikgu Wong membuka pintu makmal komputer.

Cikgu Wong mengajak mereka bertiga masuk ke dalam makmal komputer. “Okay, sekarang tunjukkan kepada cikgu apa yang kamu mahu lakukan dengan kemudahan internet,” kata Cikgu Wong kepada Haeqal.

Haeqal duduk di hadapan komputer yang baru dibuka. Komputer itu dilengkapi dengan pembesar suara, mini kamera, fonkepala, mesin pencetak dan mesin pengimbas. Dia sedikit gugup dengan kelengkapan canggih yang ada pada komputer tersebut.

“Abang, cepatlah tunjukkan kepada Cikgu Wong,” desak Asyraf.

“Tunjuk apa?” Haeqal masih gugup. Bilik komputer itu sangat sejuk kerana mempunyai pendingin hawa.

“Tunjuk lah apa-apa tentang blog,” Juwaini memberi cadangan.

Tiba-tiba Haeqal terus membuka perisian Internet Explorer dan menaip suatu alamat blog.

http://haeqaldotcom.blogspot.com


Cikgu Wong tekun melihat Haeqal yang sudah mahir menggunakan komputer dan internet. Asyraf dan Juwaini terkejut apabila melihat blog yang memaparkan gambar Haeqal yang sedang mengangkat kedua ibu jarinya.

“Abang tidak pernah bagitahu kami pun,” bisik Asyraf kepada Haeqal.

Haeqal tersenyum apabila mendengar bisikan Asyraf. Rupa-rupanya dia sudah mempunyai sebuah lama blog shopnya sendiri. Blognya dihiasi dengan pelbagai gambar menarik hingga membuatkan Cikgu Wong teruja melihatnya.


Perbualan Haeqal dan Cikgu Wong mengenai pemasaran- (Tuan Zamri akan isikan)


Asyraf masih belum berputus asa untuk memujuk Cikgu Wong. “Cikgu, boleh tak kami minta cikgu jadi pemantau untuk Pusat Internet Desa. Kami betul-betul mahu bantu ibu kami untuk menjual tikar mengkuang.”

Cikgu Wong tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tetapi dalam hatinya, dia cukup bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kembar tersebut.

“Boleh lah cikgu. Kami rasa tiada cikgu lain lagi yang boleh bantu kami.” Juwaini cuba memujuk.

Wajah Asyraf dan Juwaini kelihatan sedih. Seperti tiada harapan untuk Pusat Internet Desa dibuka semula. Cikgu Wong mengemas buku dan pen penandanya yang ditinggalkan di atas meja.

Asyraf dan Juwaini saling berpandangan, kemudian mereka memerhatikan Cikgu Wong berjalan ke arah pintu keluar makmal komputer.

“Cikgu, mahu pergi ke mana?” tanya Juwaini. Cikgu Wong tidak menjawab pertanyaan Juwaini.

Asyraf melihat kepada Haeqal yang masih duduk di depan komputer. Dia berkata kepada Haeqal, “Macam tiada harapan saja.” Asyraf menunduk ke bawah.

“Tidak mengapa. Nanti kita akan cari cara lain untuk bantu ibu Asyraf dan Juwaini.” Haeqal memujuk mereka berdua.

Cikgu Wong yang sedang menunggu di pintu makmal komputer bertanya, “Kamu mahu keluar atau tidak? Lebih lama kamu tunggu di situ lebih lama Pusat Internet Desa tidak dibuka.”

Asyraf dan Juwaini kehairanan. Mereka melihat muka antara satu sama lain. Kemudian, ketiga-tiga mereka tersenyum sesama sendiri dan berlari-lari ke arah pintu makmal komputer.

Sebelum mereka mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Wong, cikgu itu terlebih dahulu meletakkan syarat. "Tetapi cikgu perlukan dua orang murid cikgu untuk membantu. Nanti, cikgu akan bawa mereka bersama ke Puast Internet Desa.”

“Hah, dua orang?”

No comments:

Post a Comment