Tuesday, May 11, 2010

Bab 7 [Malas Menjaja]

Puan Zubaidah, penjual kain yang menjaja dari rumah ke rumah di Kampung Pokok Mangga turut mendengar cerita daripada orang kampung tentang kepulangan Haeqal ke kampung. Dia cukup tidak sedang hati, kerana memikirkan perkara buruk yang akan dibawa oleh Haeqal ke kampung.

“Puan Zubaidah nampak tidak senang bila saya sebut nama Haeqal.” Pak Zaki yang kebetulan berselisih dengan Puan Zubaidah menegur. Dia melihat Puan Zubaidah tergesa-gesa sambil membawa kain di dalam plastik untuk dijaja dari rumah ke rumah orang kampung.

“Saya dengar Haeqal bawa benda pelik ke dalam kampung kita.” Puan Zubaidah kelihatan gelisah.

“Benda apa yang pelik, Puan Zubaidah?” Pak Zaki kehairanan. Dia tahu, Haeqal bukanlah budak yang nakal.

“Internet, entah apa saya lupa. Haji Ghani yang cerita kepada saya dua hari lepas.”

“O, pergilah tengok sendiri di rumah Puan Jamilah. Ketua kampung baru maklumkan kepada saya yang Asyraf dan Juwaini, anak kembar Puan Jamilah mahu menggunakan semula Pusat Internet Desa. Saya pun naik hairan.” Pak Zaki menerangkan panjang lebar kepada Puan Zubaidah.

“Ini yang saya risaukan. Budak bandar itu seperti tiada ibu bapa. Datang ke kampung, bawa benda-benda karut sebegitu.” Puan Zubaidah melepaskan geramnya kepada Pak Zaki. Dia menyinsing lengan bajunya.

“Hah, perniagaan Puan Zubaidah bagaimana sekarang?”

“Orang kampung sudah jarang membeli kain yang saya jual. Entahlah Pak Zaki, mungkin sudah ramai yang pergi ke kedai kain di pekan sana.” Puan Zubaidah seperti berputus asa dengan apa yang dilakukan selama ini. Setelah suaminya meninggal, dia hidup seorang diri kerana tidak mempunyai anak. Terpaksa berdikari untuk menyara hidupnya dirinya sendiri.

“Pak Zaki tidak berminat dengan kain ini? Belilah satu.” Puan Zubaidan cuba memujuk Pak Zaki supaya membeli kain yang dijualnya. Dia membuka plastik dan menunjukkan kain batik terbaru.

“Eh, tidak mengapa. Ini, saya baru pulang dari rumah Puan Jamilah. Anak saya di Kuala Lumpur mengirim supaya membeli tikar mengkuang.” Pak Zaki menolak dengan sopan.

“Pak Zaki datang dari rumah Puan Jamilah?”

“Ya, pergilah tengok di sana. Mereka sedang berkumpul di beranda rumah. Haeqal ada di sana.”

Belum sempat Pak Zaki menghabiskan kata-katanya, Puan Zubaidah sudah meninggalkan Pak Zaki. Sebaik sahaja dia mendengar nama Haeqal, dia merasakan ada sesuatu yang berlaku di rumah Puan Jamilah. Dia melangkah dengan laju supaya lebih cepat tiba di rumah Puan Jamilah. Puan Zubaidah kelihatan berjalan terhincut-hincut kerana memegang bag plastik yang berisi kain batik.

“Lain macam aku tengok Jamilah, sekarang.” Kata Puan Zubaidah seorang diri.

“Mesti Haeqal sudah bawa benda karut dari bandar.” Dia masih bercakap seorang diri.

Sebaik tiba di hadapan rumah Puan Jamilah, Puan Zubaidah melihat ramai orang berhimpun di beranda rumah itu. Puan Jamilah duduk di sisi kiri Haeqal manakala Asyraf duduk di sisi kanan Haeqal. Juwaini pula berada di atas riba Puan Jamilah. Ustaz Fauzi, pun turut berada di situ. Mereka semua sedang melihat di skrin komputer riba Haeqal.

“Apalah yang mereka buat beramai-ramai. Sudahlah tidak panggil aku datang sekali.” Puan Zubaidah sekali lagi bercakap seorang diri.

Dia mendekati beranda rumah Puan Jamilah.

“Assalamualaikum.” Puan Zubaidah memberi salam.

“Wa`alaikumusalam. Naiklah, Zubaidah. Awak datang dari mana?” Puan Jamilah menjemput Puan Zubaidah naik ke atas rumahnya.

“Saya macam biasalah. Berjalan keliling kampung, menjaja kain.” Puan Zubaidah menjawab acuh tidak acuh. Dia hairan melihat mereka semua tertumpu kepada skrin komputer riba.

“Mak cik, marilah tengok sekali apa yang Haeqal tunjukkan.” Juwaini mengajak Puan Zubaidah untuk turut sama mendengar cerita Haeqal tentang cara menggunakan internet.

“Hari ini awak tak keluar menjaja tikar mengkuang, Jamilah?” Tanya Puan Zubaidah kepada Puan Jamilah.

“Sudah dua hari saya tidak keluar menjaja. Asyik mendengar cerita daripada Haeqal sejak semalam. Kenapa?”

“Cepat sangat pula awak percaya kepada budak bandar itu ya. Atau anak kembar awak itu sudah malas untuk bantu menjaja tikar sejak Haeqal datang ke kampung?” Puan Zubaidah memang terkenal dengan sifatnya seperti mulut murai.

“Eh, mana ada. Anak-anak saya semua rajin-rajin belaka. Tidak pernah melawan cakap saya. Betul tak Asyraf, Juwaini?” Puan Jamilah terkejut mendengar pertanyaan Puan Zubaidah. Dia cuba mengawal dirinya daripada menjadi marah. Asyraf dan Juwaini melihat muka ibunya, dan mengangguk apabila ditanya.

Dalam hati Puan Jamilah, dia tahu anak-anaknya memang sangat rajin membantu menjaja tikar mengkuang. Asyraf dan Juwaini memang seorang anak yang menghormati ibunya. Cuma sejak akhir-akhir ini, dia jarang mengajak anak-anaknya turut sama menjaja tikar kerana membiarkan anak-anaknya belajar menggunakan internet bersama Haeqal.

“Saya nampak, hampir setiap hari Asyraf dan Juwaini berjalan bersama-sama dengan Haeqal.” Kata Puan Zubaidah.

“Apa salahnya mak cik. Saya bukan buat kerja jahat pun. Abang Aiman bukan budak jahat. Dia baik. Lagipun, kami baik dengan Nenek Pun. Sebelah rumah saja.” Asyraf petah menjawab.

“Itulah budak-budak sekarang. Sudah pandai menjawab. Duduk ramai-ramai begini, kamu semua sedang buat apa? Budak bandar itu mahu menunjukkan komputer riba baru ke?” Puan Zubaidah tidak peduli jika pertanyaannya mengguris hati Puan Jamilah atau Haeqal.

Haeqal menoleh kepada Puan Zubaidah setelah mendengar namanya disebut. Dia cuma tersenyum.

“Bukanlah Zubaidah. Haeqal sedang mengajar cara-cara bagaimana mahu menggunakan internet. Dia ajar tentang perisian yahoo messenger dan blog. Kampung kita boleh dilihat dari satelit dengan menggunakan google map.” Puan Jamilah menjawab dengan lemah lembut.

“Apa? Google.. google map? Blog? Saya tak pernah dengar pun perkataan-perkataan itu. Bukankah saya sudah kata, Haeqal bawa benda-benda karut ke kampung kita.” Puan Zubaidah semakin tidak menjaga cara percakapannya. Puan Jamilah sudah bosan untuk melayan karenah Puan Zubaidah. Dia hanya mendiamkan diri dengan tidak menjawab soalan yang ditanya oleh Puan Zubaidah.

Setelah tiada orang yang melayan Puan Zubaidah, dia berlalu dari rumah Puan Jamilah untuk pergi ke setiap rumah orang kampung. Begitulah rutin hariannya.

“Ibu, ibu marah ke?” Asyraf bertanya ibunya perlahan-lahan.

“Kenapa ibu mesti marah?”

“Sebab Asyraf dan Juwaini belajar bagaimana nak guna blog daripada Haeqal.”

Puan Jamilah tersenyu, mendengar jawapan daripada Asyraf. Beruntung dia mendapat anak-anak seperti Asyraf dan Juwiani.

“Juwaini, Asyraf. Bukankah kita sedang belajar dengan Haeqal bagaimana mahu menjual tikar mengkuang melalui blog. Asyraf suka tak kalau pelancong datang ke kampung kita?” Puan Jamilah menjawab dengan tenang.

“Suka, suka, suka.” Jawab Asyraf dan Juwaini serentak seperti gaya Upin dan Ipin. Mereka semua tersenyum.

Haeqal berjanji untuk membantu Puan Jamilah berkongsi bagaimana cara menggunakan blog untuk mempromosi tikar mengkuang. Dalam hatinya, dia berharap semoga Puan Jamilah tidak lagi untuk bersusah payah bersama Asyraf dan Juwaini berjalan keliling kampung untuk menjaja tikar mengkuang. Dia juga berharap, suatu hari nanti Kampung Pokok Mangga kembali meriah.


---


Di rumah Haeqal seolah-olah halaqah sedang mengambil tempat, masing-masing tekun melakukan dan mendengar teknik membuka blog. (Bahagian ini, Tuan Zamri akan isi.)



No comments:

Post a Comment