Monday, May 10, 2010

Bab 6 [Mencari Peluang]


Petang itu panasnya tidak seperti biasa. Sudah tiga hari hujan tidak turun di Kampung Pokok Mangga. Pelajar sekolah berpusu-pusu keluar dari pintu pagar sekolah dan mendapatkan ibu bapa masing-masing. Ada yang menaiki motosikal dan ada juga yang menaiki kereta untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Asyraf, adik sampai ke rumah lambat sedikit.” Kata Juwaini kepada Asyraf.

“Nak pergi ke mana?” Asyraf mula mengesyaki Juwaini mempunyai perancangan. Biasanya, selepas waktu persekolahan mereka terus pulang ke rumah kerana ingin membantu ibu mereka menganyam tikar mengkuang.

Juwaini mendekatkan mulutnya di telinga Asyraf sambil berbisik. “Nak pergi tengok balai raya. Di situ ada bilik komputer dan internet.”

“Hah, abang pun nak ikut juga.” Asyraf turut berminat.

“Alah, nanti ibu risau kita balik lambat. Abang balik dahulu, nanti bagitahu ibu yang adik pergi jumpa abang Haeqal.”

“Tengok, nak menipu ibu?” Tiba-tiba Asyraf menjadi tegas. Juwaini tersengih sebelum dia menarik semula cadangannya.

“Alamak. Berdosa besar kalau kita menipu ibu. Pandai-pandailah nanti abang nak cakap apa kepada ibu. Adik nak pergi tengok samada komputer di Pusat Internet Desa masih boleh digunakan atau tidak.”

Asyraf mengangguk-angguk seperti membenarkan Juwaini pergi ke sana. Dia berfikir kalau mahu perancangan dia, Juwaini dan Haeqal berjaya, dia mesti membenarkan Juwaini untuk melihat terlebih dahulu keadaan Pusat Internet Desa. Kelak dia akan menjalankan rancangan seterusnya bersama-sama.

Juwaini berjalan ke arah balai raya. Dia masih memakai baju putih dan seluar biru. Di belakangnya terdapat beg galas besar yang memuatkan buku-buku teks dan latihan sekolah. Balai raya itu terletak hanya seratus meter daripada sekolah. Kira-kira lima minit berjalan kaki. Di sebelah balai raya itulah terdapat Pusat Internet Desa yang sudah lama ditinggalkan oleh penduduk kampung.

Sebaik Juwaini tiba di kawasan balai raya, dia berjalan perlahan-lahan agar tidak terpijak ranting. Dia takut jika penduduk kampung tersedar akan kehadirannya. Kerap kali juga penduduk kampung terserempak dengan pencuri di siang hari yang ingin memasuki kawasan balai raya. Biasanya pencuri ingin memasuki bilik yang menempatkan komputer atau pejabat balai raya kerana di dalamnya terdapat pelbagai peralatan elektrik yang mahal-mahal.

“Harap-harap tiada yang tersedar akan kehadiran aku.” Kata Juwaini perlahan-lahan. Dia melihat kiri dan kanan berulang kali.

Kini, Juwaini sudah berdiri berhampiran tingkap balairaya di bahagian sisi bangunan. Dia melihat-lihat di celah tingkap balai raya itu. Kelihatan meja-meja yang tersusun menempatkan pejabat ketua kampung dan timbalan ketua kampung.

Sedang dia asyik memerhati bahagian dalaman balai raya, tiba-tiba ada suara yang menyergah.

“Jangan lari!”

“Aku bukan pencuri!” Juwaini terkejut lalu berteriak kuat. Kakinya terus membuka langkah, lari ke arah belakang balai raya. Lariannya sedikit perlahan kerana dia sedang menggalas beg yang berat di belakangnya.

Rupa-rupanya, yang menyergah tadi ialah Ustaz Fauzi Muda yang merupakan ketua Kampung Pokok Mangga. Ustaz Fauzi tertawa melihat telatah Juwaini.

“Ahmad Juwaini?” Ustaz Fauzi memanggil Juwaini yang kelihatan kepenatan berlari. Juwaini masih terus berlari tanpa mempeduli panggilan Ustaz Fauzi.

Fikir Juwaini, daripada dia terus berada di situ, lebih baik dia melarikan diri kerana biasanya orang kampung akan menuduh orang yang mengintip balai raya sebagai pencuri.

Ustaz Fauzi memanggil lagi sambil dia mengejar Juwaini. “Juwaini. Juwaini!”

Juwaini berhenti dan menoleh ke belakang. Dia kelihatan kepenatan sambil menarik nafas dalam-dalam. Juwaini terduduk di atas tanah kerana tidak larat menanggung beban beg sekolahnya. Tubuhnya longlai.

Ustaz Fauzi datang merapati dia sambil tersengih menampakkan gigi yang tersusun. Geli hatinya masih belum hilang.

“Kenapa lari?” soal Ustaz Fauzi sambil memimpin tangan Juwaini dan membantu mengangkat beg sekolahnya.

“Ustaz buat saya terkejut. Maaf ustaz, sebab saya mengintip pejabat ustaz.” Juwaini menunduk. Dia kesal dengan apa yang dilakukannya. Ustaz Fauzi masih kehairanan. Dia tertanya-tanya benda apakah yang dilihat oleh Juwaini di sebalik tingkap balai raya sebentar tadi.

“Juwaini sedang lihat apa di sebalik tingkap tadi?” Ustaz Fauzi melembutkan suaranya agar tidak membuatkan Juwaini ketakutan.

“Saya..saya…” Juwaini masih gugup akibat disergah tadi.

“Ada nampak hantu tak di dalam pejabat itu?” Ustaz Fauzi sengaja mengusik Juwaini. Juwaini kelihatan lebih takut. Wajahnya serta-merta berubah.

“Saya..saya.. saya cuma nak tengok komputer yang ada dalam balai raya. Saya tak pernah masuk ke Pusat Internet Desa.” Akhirnya Juwaini menerangkan tujuan sebenar dia datang ke balai raya.

Semasa melihat ke dalam bilik komputer, dia sempat membilang komputer yang terdapat dalam bilik tersebut. Ada tujuh biji komputer semuanya. Tapi komputer tersebut seperti tidak pernah digunakan, atau seperti sudah lama ditinggalkan. Dia melihat lantai dipenuhi habuk dan di dinding bilik tersebut terdapat sarang labah-labah.

“Kenapa tak cakap awal-awal kepada ustaz?” tanya Ustaz Fauzi. Dia cuba menenangkan Juwaini.

“Kalau ustaz tak sergah saya, boleh saya cakap awal-awal kepada ustaz.” Juwaini seperti sudah biasa berbual dengan orang yang lebih tua. Ustaz Fauzi tertawa kecil. Dia sudah mula tenang sedikit. Mereka berdua masuk ke dalam pejabat ketua kampung dan duduk di sofa merah. Ustaz Fauzi membuka suis pendingin hawa untuk mengeringkan peluh.

Mereka mula berbual tentang Pusat Internet Desa. Juwaini banyak bertanya kepada Ustaz Fauzi tentang kemudahan internet di Kampung Pokok Mangga. Dia petah berkata-kata walaupun berhadapan dengan orang yang lebih tua.

“Ustaz, saya ingin bertanya sedikit, boleh?” Ustaz Fauzi mengangguk sambil memberi tumpuan kepada apa yang ingin diperkatakan oleh Juwaini.

“Kenapa pusat internet di kampung kita sudah lama ditutup?” Juwaini bertanya.

“Kamu ini Juwaini, kecil-kecil sudah pandai untuk mengambil tahu tentang kemudahan di kampung ya.” Juwaini tersengih apabila dipuji oleh Ustaz Fauzi. “Begini Juwaini, Pusat Internet Desa di kampung kita memang sudah lama diwujudkan. Memang kita sediakan bilik khas di sebelah pejabat ketua kampung. Tapi sejak setahun lalu, ada penduduk kampung yang takut untuk menggunakan komputer.”

Juwaini masih tidak berpuas hati. “Kenapa mereka mesti takut? Bukan komputer itu makan orang.”

Ustaz Fauzi geli hati mendengar celoteh Juwaini. “Penduduk kampung kita takut komputer itu meletup.”

“Hah, meletup? Kenapa komputer itu mahu meletup, ustaz?” Juwaini semakin yakin untuk bertanya.

“Yalah, penduduk kampung di sini bukan pandai sangat menggunakan komputer. Takut-takut tersalah tekan, itu yang mereka kata komputer boleh meletup.” Ustaz Fauzi sendiri tertawa kecil dengan sikap penduduk kampung di situ. Juwaini turut sama tertawa.

Ustaz Fauzi menambah lagi apabila melihat Juwaini masih senyap. “Sebab itu tiada siapa yang berani untuk masuk ke dalam bilik Pusat Internet Desa. Tambahan lagi, tidak ada yang ingin menjadi pengajar kepada orang kampung yang ingin menggunakan komputer. Kalau dahulu, ketika baru dibuka, ada juga Cikgu Noor yang sudi membantu. Tapi sekarang dia sudah berpindah ke sekolah baru di bandar.”

Juwaini sudah memahami serba sedikit tentang sejarah Pusat Internet Desa. “Kalau saya mahu menggunakan komputer di sini, bolehkah ustaz?”

“Juwaini mahu buat apa?”

“Di rumah saya tiada kemudahan internet, ustaz. Di kampung kita, disini sajalah tempat yang disediakan untuk menggunakan talian internet.” Juwaini menyatakan hasratnya yang sekian lama terpendam.

Sejak dua hari lepas, selepas pulang dari pantai bersama Haeqal dan Asyraf, mereka sudah terbayang tentang kemeriahan Kampung Pokok Mangga apabila dipenuhi pelancong. Terutamanya pelancong yang akan datang membeli tikar mengkuang ibu mereka. Juwaini berfikir, dia mesti mendapat kebenaran untuk menggunakan komputer dan internet di Pusat Internet Desa.

“Ustaz setuju.” Wajah Juwaini jelas kelihatan gembira dengan keputusan Ustaz Fauzi.

“Tapi..” Ustaz Fauzi belum menghabiskan kata-katanya.

“Tapi apa, ustaz?”

“Pusat Internet Desa mesti ada orang yang memantau. Orang itu mesti ada pengetahuan tentang komputer. Ustaz tidak akan benarkan pelajar-pelajar sekolah menggunakan internet tanpa ada orang yang memantau.”

Juwaini lega. Dia ingatkan syarat yang akan dikenakan susah untuk dipenuhi.

“Jadi, siapa yang ustaz rasakan layak untuk jadi pemantau Pusat Internet Desa kampung kita?” tanya Juwaini seperti tidak sabar.

“Itulah masalahnya. Penduduk kampung di sini tiada seorang pun yang berminat. Ramai yang tidak tahu menggunakan komputer dan internet.” Ustaz Fauzi mengeluh. Dia mesti mencari jalan untuk membantu anak-anak muda di kampungnya untuk menggunakan kemudahan internet.

Juwaini juga sedang berfikir. Dia memandang ke setiap penjuru pejabat ketua kampung sambil fikirannya mencari idea. Tiba-tiba dia teringatkan perbualan bersama Asyraf dan Haeqal di tepi pantai tempoh hari. Mereka ada berbincang tentang guru di sekolahnya yang juga kreatif dalam menggunakan kemudahan internet.

“Cikgu Wong Siao Yen?”

Ustaz Fauzi Muda tersenyum lebar. Cerdik sungguh budak-budak kampung sekarang. Ada saja peluang yang dicari oleh mereka untuk mengembangkan idea dan menjadi kreatif. Dia sudah mendapat nama yang sesuai untuk membantu menghidupkan semula Pusat Internet Desa.



DI RUMAH Puan Jamilah, dia sudah memakai selipar untuk keluar mencari Juwaini yang masih belum tiba. Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 petang. Biasanya, Asyraf dan Juwaini akan tiba di rumahnya sebelum pukul 2.00 petang pada setiap hari. Asyraf duduk ditangga rumah, menanti kepulangan Juwaini.

Dari kejauhan, Juwaini berjalan sambil memikul beg galasnya. Ada tanda kotor di seluar Juwaini akibat terjatuh semasa lari daripada Ustaz Fauzi sebentar tadi. Di tangannya, Juwaini memegang plastik air sirap. Ustaz Fauzi yang belikan kepada Juwaini sebagai hadiah atas keberaniannya untuk menghidupkan semula Pusat Internet Desa.

Puan Jamilah mula menyedari kepulangan Juwaini. Juwaini tersengih sebaik melangkah masuk ke kawasan rumah.

“Harapnya ibu tidak memarahi adik.” Asyraf berkata perlahan-lahan.

Harapnya Puan Jamilah tidak memarahi Juwaini, kerana sedikit masa lagi, kedua-dua kembar itu akan membuatkan ibunya, Puan Jamilah tersenyum lebar dan gembira sepanjang masa.


No comments:

Post a Comment