Saturday, May 8, 2010

Bab 4


Hari ketiga Haeqal berada di kampung, fikirannya dipenuhi idea-idea baru. Haeqal merasakan Asyraf sudah dapat membaca ideanya. Pagi semalam, Asyraf datang semula ke rumah neneknya bersama Juwairi. Mereka mengusung gulungan tikar mengkuang yang lebih besar.


“Abang Haeqal, ini tikar mengkuang yang ibu buat sendiri. Tapi tiada orang yang datang beli tikar ini.” Keluh Juwairi kepada Haeqal.

Haeqal membantu mereka membentangkan tikar mengkuang di atas rumput di halaman rumah nenek Haeqal. Mereka bertiga duduk disitu sambil membuka topik perbualan.

Tanpa diduga, Asyraf terus menceritakan ideanya kepada Haeqal. Muka Haeqal berseri-seri. Apa yang bermain di fikirannya sejak hari semalam rupa-rupanya sudah dapat dibaca oleh Asyraf.

“Bagus juga idea kamu, Asyraf. Nanti kita bincang lebih lanjut bersama ibu kamu.” Haeqal memuji kembar itu. Mereka sudah melihat masa depan yang lebih cerah.



PINTU rumah Puan Jamilah diketuk berkali-kali.

“Assalamualaikum. Ini rumah Puan Jamilah ke?”

Setelah memakai tudung dengan sempurna, Puan Jamilah datang membuka pintu sambil menjawab salam. Dia mempelawa tetamunya masuk ke dalam rumah dan duduk di kerusi rotan. Kelihatan tetamu itu seperti datang dari bandar.

“Apa hajat Tuan datang ke mari?”

“Maaf mengganggu di pagi hari. Begini Puan Jamilah. Saya datang untuk bertanya Puan tentang hasil kraftangan tikar mengkuang.” Tetamu tersebut menerangkan hajatnya datang ke mari.

“Maksud Tuan, mahu membeli tikar saya?” Puan Jamilah masih kurang memahami hajatnya. Di sebalik dinding yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu rumahnya, Asyraf dan Juwairi sedang menekap telinga di dinding kayu itu sambil mendengar perbualan antara ibunya dan tetamu tersebut.

“Pendek cerita, tujuan saya datang ke mari untuk membeli tikar-tikar mengkuang Puan Jamilah secara borong. Dengan harga yang lebih murah untuk dijual di bandar Melaka.”

Dahi Puan Jamilah berkerut apabila mendengar perkataan ‘lebih murah’.

“Kalau betul begitu, saya akan menjual dengan harga biasa. Harga yang biasa dijual oleh arwah suami saya. Harganya mengikut saiz tertentu.”

“Kalau beli dengan harga borong, saya mahu dapatkannya dengan harga lebih murah. Biasanya kami ambil dengan harga RM 15 sebidang tikar mengkuang.” Kata tetamu tersebut.

“Sebentar ya Tuan.” Puan Jamilah meminta laluan untuk masuk ke dapur rumahnya. Dia mengambil beberapa contoh tikar mengkuang pelbagai saiz dan warna. Lalu dihamparkan di ruang tamu rumahnya satu persatu.

Dalam hati Puan Jamilah, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia mengesan tetamu itu cuba menipu dirinya berkenaan dengan harga tikar mengkuang. Seingatnya, suami Puan Jamilah pernah menerangkan kepadanya harga tiap satu tikar mengkuang mengikut saiz tertentu. Biasanya, untuk saiz kecil dan sederhana, dia akan menjual dengan harga RM 25.

Tetamu itu menambah lagi.

“RM 15, itu harga pasaran, Puan. Jadi boleh atau tidak saya ingin membayarnya secara borong?”

Puan Jamilah merasa serba salah. Dia tahu, tetamu itu sedang menipunya untuk membeli dengan harga paling murah. Baginya, biar tidak mendapat untung hasi jualan tikar mengkuang, paling tidak dia tidak mengalami kerugian.

“Tuan, saya akan menjual dengan harga biasa yang suami saya jualkan. RM 25 sebidang untuk saiz yang kecil dan sederhana.”

“Saya cuma ingin membantu Puan saja. Jika saya tidak mengambilnya dengan harga semurah ini, siapakah lagi yang akan datang untuk membeli?” Tetamu itu seperti mengugut Puan Jamilah. “Rugi kalau Puan tidak menjualkannya kepada saya.”

“Saya memang mahu menjualnya kepada Tuan. Tapi masih dengan harga biasa kerana saya perlu menyara keluarga. Harga yang saya tetapkan ini sudah cukup rendah berbanding harga di bandar.” Puan Jamilah cuba bertegas walaupun suaranya agak lemah lembut.

“Puan, ramai sangatkah yang tahu Puan membuat dan menjual tikar mengkuang di kampung?” Tetamu itu masih mahu mendesak Puan Jamilah agar menjual dengan harga murah kepadanya.

Puan Jamilah kelihatan gelisah. Dia cukup sedih. Sudahlah keluarganya tidak mempunyai tempat bergantung. Suaminya sudah setahun meninggal dunia. Ada pula orang yang sanggup datang untuk menipu dirinya.

Sebelum meninggal dunia, suaminya pernah berniaga tikar mengkuang di Banda Kaba. Suaminya pernah bercerita, Banda Kaba itu asalnya dari perkataan Portugis yang bermaksud kampung yang terakhir di dalam bandar. Di situ ramai orang yang berniaga barang kraftangan termasuk suaminya. Ramai pelancong yang berkunjung ke situ untuk membeli cenderamata.

Setiap pagi, suaminya akan keluar ke sana untuk berniaga. Apabila hari petang, suaminya pulang membawa sedikit keuntungan bagi memberi makan kepada dia dan anak-anaknya. Mereka saling memahami. Di rumah, Puan Jamilah akan menyanyam tikar mengkuang manakala suaminya yang menjualkan tikar itu.

Setahun lalu, suaminya jatuh sakit dan tidak dapat meneruskan perniagaan. Puan Jamilah menghadapi kesukaran untuk menjual tikar mengkuang, hanya membuat sekadar apa yang dia mampu. Setelah berbulan-bulan sakit, suami Puan Jamilah akhirnya meninggal dunia.

“Ibu, abang dan adik mahu berhenti sekolah. Kami mahu bantu ibu menjual tikar mengkuang.” Suatu hari, Juwairi berkata kepada ibunya. Ibu mereka melarang keras. Puan Jamilah mahu anak-anaknya meneruskan persekolahan hingga ke universiti. Wajah Asyraf dan Juwairi kelihatan murung. Dia juga mahu terus bersekolah, tetapi dalam masa yang sama dia sangat mengasihani ibunya.

Selepas suami Puan Jamilah meninggal dunia, ada orang yang datang ke rumahnya untuk mengambil tikar mengkuang dan menjual di Banda Kaba. Biasanya Haji Aziz yang selalu datang mengambil tikar tersebut. Dia merupakan kawan baik suaminya dan menetap di kampung yang sama, Kampung Pokok Mangga.

Setelah beberapa bulan, Haji Aziz sudah tidak larat untuk ke Banda Kaba lalu diganti oleh orang tengah yang lain. Tetapi masalah dihadapi oleh Puan Jamilah, apabila orang tengah ini mahu mengambil tikar mengkuang dengan harga yang lebih murah.

“Kalau Puan tidak member kepada saya dengan harga murah, agak-agak masih adakah orang lain yang akan menolong Puan menjual tikar ini?” kata orang tengah itu.

Puan Jamilah menjadi ragu. Akhirnya dia terpaksa juga menjual dengan harga yang murah. Asalkan dia mempunyai sedikit wang untuk menyara diri dan anak-anaknya.

“Ibu, biarlah kami yang menjual tikar mengkuang di sekitar kampung ini.” Pinta Asyraf kepada ibunya. Puan Jamilah membenarkan anaknya menjual tikar yang lebih kecil di sekitar kampung. Waktu itu mereka baru memasuki darjah empat. Mereka cukup geram apabila ibunya dipermainkan oleh orang yang membeli terus daripada ibunya.

Walau bagaimanapun, tikar tersebut masih tidak dapat dijual kerana sambutan yang diberikan agak kurang memberangsangkan. Kampung yang kecil seperti Kampung Pokok Mangga tidak memberi pulangan yang besar kepada mereka sekeluarga.



TETAMU itu masih mahu membeli dengan harga murah. Tidak mahu mengalah dengan Puan Jamilah. Puan Jamilah masih tetap dengan pendirian asalnya.

“Alah Puan, berasa sen sangatlah harga tikar mengkuang. Kalau Puan tidak menjual dengan harga yang murah, saya tidak rugi satu sen pun. Sekarang semua orang sudah menggunakan karpet.” Tetamu itu sempat menyindir Puan Jamilah.

Asyraf dan Juwairi mendengar setiap perbualan tetamu itu di sebaik dinding. Dia melihat wajah ibunya di celah dinding yang berlubang. Ibunya kelihatan sugul, ada air mata yang bergenang di kelopak mata ibunya.

Muka Juwairi menjadi merah. Begitu juga Asyraf. Mereka hilang sabar kerana tetamu itu telah mengguris perasaan ibu mereka.

Tiba-tiba, Asyraf keluar ke ruang tamu hingga membuat tetamu dan ibunya terkejut.

“Kalau pak cik tak mahu beli dengan harga biasa, balik sajalah!” dia menengking tetamu itu dengan muka yang merah. Dia cukup geram apabila ada orang lain yang membuatkan ibunya bersedih. Walaupun tubuhnya kecil, tapi jiwanya besar.

“Ibu, tak payah jual tikar mengkuang kepada pak cik ini.” Asyraf menambah lagi. Ibunya masih senyap membisu sambil memandang ke arah Asyraf. Di sebalik dinding dapur itu, Juwairi menggeletar ketakutan. Dia tidak menyangka abangnya berani untuk menengking tetamu itu. Dia juga turut merasa geram, cuma tidak seberani Asyraf.

Di tangan Juwairi, ada sebuah buku teks sekolah. Agak tebal juga buku itu. Juwairi bersedia pada bila-bila masa untuk membaling buku tersebut jika tetamu itu membuat sesuatu kepada ibu dan abangnya.

Asyraf masih belum reda marahnya. Tetapi Puan Jamilah cepat-cepat memeluk Asyraf dan menenangkan perasaanya.

“Tidak mengapalah Tuan. Maafkan saya. Kami lebih rela menjadi miskin, daripada ditipu oleh orang lain.” Puan Jamilah seperti mempersilakan tetamu itu untuk beredar dari rumahnya.

“Ibu, kita tidak perlukan orang yang suka menipu. Nanti, Asyraf dan Juwairi akan minta tolong Abang Haeqal untuk bantu ibu.” Juwairi keluar perlahan-lahan sambil memujuk ibunya.

“Kita akan buat orang ramai datang ke rumah kita untuk membeli tikar mengkuang. Pelancong semua akan datang ke rumah kita nanti untuk membeli tikar mengkuang.” Asyraf seperti berjanji dengan ibunya. Dia sudah terbayang idea yang kreatif untuk membantu ibunya.

Tetamu tadi masih berada luar rumahnya. Dia tergelak besar apabila mendengar janji Asyraf kepada ibunya. Katanya, apalah sangat tikar mengkuang jika dibandingkan dengan karpet.

Mereka bertiga tidak menghiraukan perlian tetamu itu.

Puan Jamilah memandang wajah kedua-dua anaknya. Dia seperti tidak percaya apabila mendengar janji Asyraf dan Juwairi. Haeqal, apa pula kaitan cucu Nenek Pun dengan tikar mengkuangnya?

Sambil menggulung semula tikar tadi, Puan Juwairian bertanya kepada Juwairi. Dia menggelengkan kepala sambil mengangkat-angkat bahunya.

“Entah Asyraf, dia yang kata tadi.”

Asyraf sudah tidak kelihatan di atas rumahnya. Dia hilang bersama dengan sebidang tikar kecil yang masih berada di ruang tamu rumahnya.

“Asyraf!” Puan Jamilah memanggil nama Asyraf. Dia agak terkejut kerana Asyraf hilang secara tiba-tiba.

“Ya, ibu.” Laungan suara Asyraf kedengaran dari arah rumah nenek Haeqal.

Puan Jamilah menjengok melalui jendela, melihat Asyraf sedang memikul tikar sambil menuju ke rumah nenek Haeqal. Badannya kelihatan lebih kecil berbanding tikar itu. Puan Jamilah semakin kepelikan.

“Apa pula yang Asyraf cuba buat?”

No comments:

Post a Comment