Tuesday, May 11, 2010

Bab 8 [Lampu Hijau]

Pada setiap malam Jumaat, Ustaz Fauzi akan memberi tazkirah di surau Kampung Pokok Mangga yang terletak berhampiran dengan balai raya. Dia lebih suka untuk berjumpa dengan penduduk kampung di surau tersebut untuk mengetahui masalah-masalah yang dialami oleh penduduk kampung.

Dia juga seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Penduduk kampung sentiasa bertanya kepadanya jika terdapat sebarang kemusykilan tentang agama.

Haeqal juga tidak melepaskan peluang untuk bersolat jemaah di surau sambil mendengar tazkirah dari Ustaz Fauzi. Pada malam itu, Ustaz Fauzi telah memberi tazkirah tentang hobi Nabi Muhammad saw iaitu berniaga.

“Nabi Muhammad bukan sahaja seorang nabi, bapa, ayah dan suami, tetapi baginda juga merupakan seorang peniaga sejak kecil lagi. Nabi sangat minat berniaga hingga sanggup mengikuti rombongan bapa saudaranya, Abu Tali pergi berniaga di negeri Syam.” Ustaz Fauzi menerangkan kepada penduduk kampung yang datang ke surau.

“Isteri Nabi kita, Saidatina Khadijah juga seorang ahli perniagaan. Tapi kita mesti ingat, segala keuntungan yang dia peroleh semuanya diberi kepada Nabi untuk menyebarkan ajaran Islam.”

Puan Jamilah dan Puan Zubaidah turut sama hadir ke surau. Mereka memberi perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh Ustaz Fauzi kerana tajuk pada malam itu ialah tentang perniagaan. Penduduk kampung tahu, mereka adalah peniaga yang aktif di kampung. Puan Jamilah berniaga tikar mengkuang manakala Puan Zubaidah berniaga kain dari rumah ke rumah.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan hendak tahu, ada sahabat Nabi kita yang digelar jutawan kerana mereka mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda hasil daripada perniagaan yang mereka lakukan.” Ustaz Fauzi memberi contoh sahabat-sahabat Nabi yang pernah digelar jutawan.

“Okay, sekarang saya buka kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk bertanya soalan berkaitan dengan perniagaan di zaman Nabi.”

Selepas Ustaz Fauzi membuka peluang untuk bertanya soalan, beberapa orang penduduk kampung mengangkat tangan untuk bertanya soalan.

“Silakan, Puan Jamilah.”

“Ustaz, apakah kelebihan orang Islam melakukan perniagaan?” Puan Jamilah bertanya kepada Ustaz Fauzi.

“Berniaga ini banyak kelebihannya. Oleh kerana Nabi kita juga berniaga, maka kalau kita melakukan perniagaan, ini bermakna kita telah mengikut sunah Nabi kita. Kita akan mendapat pahala secara tidak langsung.”

Puan Jamilah dan penduduk kampung mengangguk kepala tanda faham.

“Berniaga juga dapat menjaga hubungan silaturahim antara sesama orang Islam. Contohnya apabila saya pergi membeli tikar mengkuang di rumah Puan Jamilah, saya dapat bertanya khabar Puan Jamilah sekeluarga.” Ustaz Fauzi tersenyum. Dia berharap segala jawapannya dapat memuaskan hati penduduk kampung yang hadir ke surau.

Haeqal turut mengangkat tangan untuk bertanya.

“Ustaz, apa hukum kita berniaga melalui internet?”

Ustaz Fauzi tersenyum mendengar soalan daripada Haeqal. Dia dapat mengagak apa yang dimaksudkan oleh Haeqal kerana dia pernah berkunjung ke rumah Haeqal untuk melihat cara mengendalikan blog.

“Bagus soalan itu Haeqal. Selagi mana tidak melanggar syarak, kita diharuskan untuk menggunakan teknologi terkini seperti internet, blog dan sebagainya.” Ustaz Fauzi menjawab seringkas mungkin.

Puan Zubaidah menjeling tajam kepada Haeqal. Dia masih tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan blog, seperti yang dicakapkan oleh Ustaz Fauzi.

“Dia mahu bawa benda karut ke dalam kampung kita.” Kata Puan Zubaidah perlahan-lahan. Haeqal menoleh kepada Puan Zubaidah apabila mendengar suaranya, tetapi Puan Zubaidah cepat-cepat berpaling ke arah lain.

Setelah menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh penduduk kampung, mereka bersolat isyak berjemaah. Selepas solat isyak, beberapa orang tua datang duduk mengelilingi Ustaz Fauzi. Rupa-rupanya mereka mengikuti usrah bersama-sama dengan Ustaz Fauzi.

Asyraf dan Juwaini berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu surau dan melihat Ustaz Fauzi sedang dikelilingi oleh orang tua di beranda surau. Mereka berdua berdiri sambil menolak antara satu sama lain.

“Abanglah pergi dahulu. Nanti adik ikut dari belakang.” Kata Juwaini sambil menolak lembut bahu Asyraf.

“Adik kan pernah jumpa ustaz. Adiklah pergi dahulu.” Asyraf kelihatan takut-takut.


“Okay, kita pergi sama-sama.” Juwaini memegang tangan Asyraf.

“Hah, Asyraf, Juwaini. Kamu mahu jumpa ustaz ya?” Ustaz Fauzi yang sejak daripada tadi leka berual dengan orang-orang tua itu menyedari kehadiran Asyraf dan Juwaini yang tercegat di pintu surau.

Asyraf dan Juwaini terkejut dengan teguran dariapda Ustaz Fauzi. Mereka mengangguk-angguk kepala.

“Sekejap ya. Ustaz mahu habiskan usrah sekejap.” Ustaz Fauzi meneruskan sesi usrahnya bersama orang-orang tua. Dia hampir mengakhiri sesi usrah tersebut apabila melipat-lipat kertas yang dibacanya sebentar tadi. Asyraf dan Juwaini berdiam sahaja sambil berdiri berhampiran pintu, di belakang Ustaz Fauzi.

Setelah orang-orang tua itu beredar, Ustaz Fauzi menjemput Asyraf dan Juwaini duduk di hadapannya.

“Asyraf dan Juwaini, mahu minum air teh?” Tanya Ustaz Fauzi sambil menuangkan air ke dalam dua biji gelas.

“Ustaz, bagaimana dengan Pusat Internet Desa?” Juwaini bertanya tanpa menjawab soalan Ustaz Fauzi.

“Ustaz boleh benarkan. Tapi kamu sudah dapatkan orang yang boleh memantau Pusat Internet Desa. Maksud ustaz, seperti yang ustaz minta Juwaini carikan tempoh hari.”

Mereka menggeleng kepala.

“Belum jumpa, ustaz.” Kata Juwaini. Dia menggaru-garu kepalanya sambil mencari idea.

“Kita mesti cari idea bagaimana mahu pujuk Cikgu Siao Yen supaya dia bersetuju dengan cadangan kita.” Tiba-tiba Asyraf mencelah.

“Bagus, bagus. Lebih cepat kamu bagitahu Cikgu Siao Yen, lebih cepat kamu dapat gunakan Pusat Internet Desa. Oh ya, ustaz ingat mahu libatkan juga anak-anak ustaz supaya mereka dapat belajar menggunakan internet.” Ustaz Fauzi mula berminat dengan idea yang dibawa oleh Asyraf dan Juwaini.

“Boleh, boleh, boleh.” Jawab Asyraf dan Juwaini serentak.

Ustaz Fauzi tertawa kecil apabila mendengar mereka menjawab serentak. Dia gembira dengan perkembangan yang berlaku di kampungnya sejak akhir-akhir ini. Sejak Haeqal datang ke kampung, penduduk kampung sudah mula berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang penggunaan internet dan blog.

Tiba-tiba, ada seorang pelajar lelaki yang sejak daripada tadi duduk bersandar di dinding muncul di sebalik pintu. Sejak daripada tadi dia mendengar perbualan mereka bertiga, tetapi tidak berani untuk turut serta. Dia sangat berminat untuk mendengar, lalu dicondongkan badannya keluar sedikit dari belakang pintu.

“Opocot!” Ustaz Fauzi terkejut apabila melihat kepala pelajar itu. Asyraf dan Juwaini tergelak apabila mendengar Ustaz Fauzi melatah.

“Kamu ini, buat ustaz terkejut saja. Mujur ustaz tiada penyakit jantung. Hah, marilah dengar sekali perbincangan ustaz dengan Asyraf dan Juwiani.” Ustaz Fauzi memanggil pelajar itu dan menyuruh dia duduk di sebelah Asyraf.

Pelajar itu bangun dan duduk di sebelah Asyraf sambil dia tersengih-sengih.

“Ustaz, saya pun berminat juga dengan apa yang ustaz bincangkan tadi.” Tiba-tiba Asyraf dan Juwaini menutup mulut sambil memandang antara satu sama lain.

“Hahaha..” Ketawa dua kembar itu pecah juga akhirnya. Rupa-rupanya mereka geli hati dengan suara pelajar itu yang berbunyi sengau. Suara pelajar itu seolah-olah keluar melalui hidung. Sungguh melucukan.

“Kamu, nama siapa?” Tanya Ustaz Fauzi.

“Oh, saya baru sahaja selesai mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia.” Suara pelajar itu masih berbunyi sengau.

“Haha. Ustaz tanya nama abang, siapa? Bukan belajar di mana.” Juwaini cepat mencelah apabila pelajar itu tidak menjawab soalan yang ditanya oleh Ustaz Fauzi.

“Asnin.”

“Apa dia?” Tanya Ustaz Fauzi sambil mendekatkan telinganya kepada pelajar itu.

“Asnin.”

“O, nama kamu Azmin?” Ustaz Fauzi bertanya semula untuk mendapat kepastian.

Pelajar itu mengangguk-angguk kepalanya sambil tersengih. Asyraf dan Juwaini masih tergelak kecil.

“Baiklah. Kalau macam ini, kita tidak boleh tunggu lagi. Esok kita mesti cari Cikgu Siao Yen. Setuju semua?” Asyraf meletakkan tangan kanannya di depan Juwaini dan Azmin. Juwaini dan Azmin meletakkan tangan masing-masing di atas tangan Asyraf.

“Setuju!”

No comments:

Post a Comment