Sunday, May 9, 2010

Bab 5 [Seringgit Pertama]


Angin pantai meniup perlahan. Sungguh nyaman suasana di tepi pantai Kampung Pokok Mangga. Haeqal berjalan seorang diri sambil memikul beg galas yang berisi laptop peribadinya. Dia meminta kebenaran daripada neneknya untuk keluar berjalan-jalan di sekitar pantai sambil menghirup udara segar.

Jarak pantai dan rumah neneknya tidak terlalu jauh. Hanya mengambil masa sekitar 15 minit dengan menelusuri jalan utama kampung itu.

Haeqal melihat pantai tersebut sangat bersih. Pasirnya memutih. Berhampiran dengan pokok renek di tepian pantai terdapat longgokan sampah. Haeqal cukup geram melihat orang membuang sampah merata-rata kerana ia boleh mencacatkan pemandangan pantai yang indah.

Di petang hari, ramai penduduk kampung datang untuk berkelah di tepi pantai. Mereka bersuka ria bersama keluarga masing-masing. Haeqal mencari batang pokok kelapa yang tumbang, lalu dia duduk berehat di situ sambil membuka beg galasnya.

Haeqal mengeluarkan komputer riba peribadinya. Dia tidak membawa wayar seperti biasa kerana bateri computer tersebut sudah dicaj penuh. Haeqal sentiasa berjaga-jaga dengan sentiasa memastikan bateri komputernya sentiasa penuh. Jika bekalan elektrik terputus dan dia terdesak untuk menggunakan komputer riba, kelak masalah tidak akan timbul.

“Alah, ayah masih belum membuka yahoo messenger dia.” Keluh Haeqal sebaik memasuki laman yahoo messenger peribadinya.

Blog peribadinya dibuka untuk dikemaskini dengan memuat turun beberapa keeping gambar baru. Dia juga menulis tentang perasaan dan suasana yang dia alami selama lebih seminggu menetap di kampung.

Juwaini dan Asyraf yang kebetulan melalui jalan itu terperasan akan kehadiran Haeqal yang khusyuk mengadap laptopnya. Mereka merancang untuk membuat Haeqal terkejut. Dengan langkah berhati-hati, kembar itu berjalan dari arah belakang Haeqal.

Haeqal sudah mengetahui kehadiran mereka berdua, tetapi berpura-pura tidak menyedari.

“Abang Haeqal!” sergah Asyraf sambil memegang bahu Haeqal.

“Tak terkejut pun.” Balas Haeqal selamba.

“Alah, dia sudah tahu kita datang.” Asyraf memberitahu Juwaini. Perancangan untuk membuatkan Haeqal terkejut tidak menjadi. Dengan bersusah payah memanjat batang pokok kelapa yang tumbang itu, Asyraf duduk di sisi Haeqal.

“Kamu datang dengan siapa?” Tanya Haeqal kepada mereka berdua.

“Datang dengan ibu. Kami pergi menjaja tikar mengkuang tadi.” Juwaini menjawab sambil mengutip kerang-kerang yang bertaburan di atas pasir. Juwaini menepuk-nepuk tangannya apabila pasir pantai melekat.

“Asyraf, Juwaini. Ibu nak pergi ke rumah kawan ibu sekejap. Mahu ikut ibu?” Puan Jamilah menjerit dari kejauhan apabila melihat kedua-dua anaknya leka bersama Haeqal.

“Nanti Asyraf balik dengan Haeqal, ibu.” Sambil berdiri di atas batang pokok kelapa, Asyraf membalas pertanyaan ibunya. Juwaini cuma mengangguk tanda bersetuju. Puan Jamilah percaya kepada Haeqal, lalu memberi kebenaran kepada kedua-dua anaknya.

“Jangan pulang lewat sangat. Mesti sampai rumah sebelum azan maghrib.” Puan Jamilah tegas dalam mendidik anaknya walaupun dia lemah lembut dalam berkata-kata.

Selepas ibunya beredar, Asyraf mula bertanya Haeqal sambil matanya memerhatikan skrin komputer riba.

“Abang sedang buat apa?”

“Abang sedang melayari internet, Asyraf. Sudah lama abang tak kemaskini blog. Hari ini abang ingin menulis tentang suasana kampung kita ke dalam blog.”

“Blog, makhluk apa itu?”

“Isy, bukan makhluklah. Blog ialah tempat untuk kita menulis sesuatu. Kita juga boleh letakkan gambar kita ke dalamnya. Nanti, semua orang di seluruh dunia akan membuka blog kita setiap hari.” Haeqal ketawa kecil. Dia menerangkan dengan ringkas. Entah faham atau tidak Asyraf dan Juwaini. Mereka mengangguk saja.

“Senanglah abang Haeqal. Ada komputer riba.” Tiba-tiba Juwaini mencelah sambil tangannya masih mengutip kulit kerang yang bertaburan. Mukanya berubah, daripada ceria menjadi lebih sedih.

“Kenapa, Juwaini?” Haeqal bertanya apabila melihat wajah Juwaini berubah.

“Di sekolah kami, komputer hanya boleh guna pada waktu sekolah saja. Bila pulang ke rumah, sunyilah kami. Kalau waktu cuti sekolah, bilik komputer sekolah tak buka.” Asyraf lebih cepat bercerita.

“O, begitu. Asyraf dan Juwaini selalu guna komputer bilik komputer sekolah?” Haeqal meminta kepastian.

Juwaini pula mengambil giliran menjawab pertanyaan Haeqal. “Selalu juga. Biasanya kami pergi waktu rehat. Kami lebih suka pergi belajar menggunakan komputer berbanding kawan-kawan lain pergi berebut untuk membeli makanan.”

“Asyraf dan Juwaini tak lapar ke?”

“Kami sudah biasa, abang. Pagi-pagi, ibu sudah sediakan sarapan nasi goreng. Boleh tahan kenyang sampai tengahari.” Juwaini menambah. Dalam hati Haeqal, dia berasa kagum dengan Puan Jamilah. Walaupun keluarga mereka tidak senang, tapi rezeki makan minum mereka sentiasa dilimpahi oleh Allah.

Sambil mengadap komputer riba, Haeqal bertanya pelbagai perkara kepada Asyraf dan Juwaini. Terutamanya berkenaan minat dan kemahiran tentang komputer yang ada pada kembar itu.

"Sudah jumpa!" Tiba-tiba Haeqal berteriak riang.

Asyraf yang berada di sebelahnya terkejut, begitu juga dengan Juwaini yang leka mengutip kulit siput dan kerang di sekitar tempat mereka berehat. Kedua-dua kehairanan melihat Haeqal.

“Jumpa apa, abang Haeqal?” tanya Asyraf.

Haeqal memusingkan skrin komputernya mengadap wajah Asyraf. Asyraf mendekatkan mukanya kepada skrin komputer. Juwaini sudah meninggalkan kulit kerang dan siput yang dikutipnya dan berlari anak ke arah Haeqal.

“Tepilah sikit. Adik pun mahu tengok juga.” Kata Juwaini sambil menepis tangan Asyraf. Haeqal gembira melihat telatah mereka berdua. Minat mereka terhadap komputer sangat tinggi. Jika digilap, mesti akan menghasilkan pulangan yang positif.

“Ini gambar apa, abang Haeqal?” tanya Juwaini.

Sambil menunjukkan satu titik di dalam gambar tersebut, Haeqal menjawab. “Ini gambar pantai tempat kita berehat sekarang. Tengok, itu gambar Asyraf dan Juwaini sedang bercakap-cakap.”

Mereka berebut-rebut mahu melihat gambar sendiri. Komputer Haeqal hampir terjatuh, mujurlah dia sempat memegangnya.

“Mana, abang Haeqal?” Tanya Juwaini.

“Tak nampak pun. Abang Haeqal tipu.” Celah Asyraf.

Sejak dari tadi, Haeqal sudah tertawa seorang diri melihat gelagat dua orang kembar itu. Usikan dia dipercayai bulat-bulat oleh mereka berdua. “Mana ada gambar bergerak dalam gambar itu. Ini gambar yang diambil dari satelit, bukan rakaman video.”

Asyraf dan Juwaini menggaru-garu kepala sendiri. Mereka tidak faham apa yang diperkatakan oleh Haeqal.

“Macam mana nak cari gambar rumah kita, abang Haeqal?” Tanya Asyraf.


Nota: Tuan Zamri akan masukkan cara menggunakan Google Maps


Mereka kemudian meneruskan perbualan. Bermacam-macam idea yang dikeluarkan. Kata Juwaini, nanti kita cari gambar sekolah. Gambar rumah Pak Zaki, gambar rumah Haji Ghani. Mereka mengandaikan, pasti kampung yang sudah lama tidak didengar orang, akan dapat dicari semula melalui perisian Google Maps. Apatah lagi Kampung Pokok Mangga yang pernah tersohor di beberapa negeri di seluruh Malaysia.

Haeqal juga bercerita kepada mereka berdua tentang kelebihan yang ada pada perisian Google Maps.

“Tahu tak, pelancong yang suka menjelajah dunia pun akan mencari maklumat di internet sebelum mereka ke luar Negara.?”

Asyraf dan Juwaini menggeleng-geleng kepala. Samada tidak faham apa yang ditanya atau tidak tahu jawapannya. Asyraf turun dari batang pokok kelapa itu dan turut membantu Juwaini mencari kulit siput.

Suasana senyap. Tiba-tiba Asyraf menumbuk telapak tangan kirinya sambil kaki kirinya diangkat lalu diletakkan di atas batang pokok kelapa. Lagak seperti seorang hero menanti untuk memukul mangsanya.

“Walaupun kita miskin, tapi kita tak perlukan orang yang suka menipu!”

Haeqal kehairanan melihat kelakuan Asyraf. Dia bertanya kenapa tiba-tiba Asyraf berkelakuan begitu. Kata Haeqal, kita mesti berkelakuan sopan. Asyraf menurunkan semula kakinya sambil duduk semula di atas batang pokok kelapa.

Kata Asyraf, dia teringatkan peristiwa semasa orang tengah datang ke rumahnya untuk membeli tikar mengkuang dengan harga yang lebih murah. Asyraf mengetap bibir menunjukkan tanda geramnya masih ada. Dia menceritakan segala apa yang berlaku di rumahnya pada hari itu kepada Haeqal.

Juwaini yang dari tadi senyap, tiba-tiba menyampuk. “Agak-agak, kalau pelancong terjumpa tempat kita, mereka nak datang atau tidak?”

“Takkanlah pelancong mahu datang saja-saja. Kampung kita tiada apa-apa yang hendak dilihat lagi.” Asyraf cepat memotong pertanyaan Juwaini.

Mendengar soal jawab Juwaini dan Asyraf, Haeqal teringatkan perbualan antara Pak Zaki dan Haji Ghani di warung Pak Majid tempoh hari. Benar, sejarah kampung ini hanya tinggal kenangan.

Asyraf dan Haeqal saling memandang muka antara satu sama lain. Mereka tersengih. Juwaini tidak memahami langsung apa yang bermain di fikiran Asyraf dan Haeqal. Dia lebih lambat untuk menangkap idea berbanding abang kembarnya.

“Kita buat promosi tikar mengkuang dalam blog. Dan gunakan Google Maps untuk jadikan kampung kita terkenal di seluruh Malaysia!”

Haeqal tersenyum puas. Cepat betul Asyraf menangkap idea yang bermain difikirannya sejak sekian lama.


Nota: Tuan Zamri akan masukkan beberapa blog shop di sini.



SEBELUM beredar dari pantai, mereka mengetuk-ngetuk selipar masing-masing untuk membuang pasir halus yang melekat. Mereka bertiga berjalan kaki menelurusi jalan menuju ke rumah masing-masing.

Mereka bertiga cukup teruja dengan idea tadi. Masing-masing tidak sabar untuk memulakannya. Sebelum itu, mereka mesti meminta kebenaran Puan Jamilah untuk meneruskan idea tersebut.

“Nanti, mesti kampung kita akan dipenuhi pelancong yang datang ke pantai dan membeli tikar mengkuang ibu.” Asyraf begitu ria sekali.

Begitu juga dengan Juwaini. “Kita mesti buktikan kepada orang tengah itu. Walaupun kita baru darjah lima, tapi kita mampu buat. Ibu mesti gembira dengan kita.”

Dari tadi, Haeqal tersenyum. Dia gembira melihat adik-adiknya cukup bersemangat untuk membantu ibu mereka. Nampaknya mereka sudah mula membayangkan kehadiran pelancong dari luar negara ke Kampung Pokok Mangga.

Angan-angan mereka, entah sudah sampai ke mana.

Tiba-tiba, Juwaini memotong angan-angan mereka. "Nanti dahulu!"

Masing-masing memandang sesama sendiri. Muka Asyraf berubah sedikit kerana terkejut mendengar jeritan Juwaini. Juwaini menyambung lagi.

"Bagaimana kita mahu memulakan perancangan ini? Internet di kampung kita pun tidak ada."

Muhammad Asyraf, Ahmad Juwaini dan Haeqal Zulqarnain akan bersatu tenaga untuk merealisasikan impian mereka. Kampung Pokok Mangga pasti kembali ceria.

No comments:

Post a Comment