Sunday, May 23, 2010

Bab 11

Jam menunjukkan pukul 12 tengahari. Pada hari minggu begini, orang-orang Kampung Pokok Mangga lebih suka duduk di rumah. Puan Zubaidah kepenatan setelah mengelilingi kampung untuk menjaja kain yang dijualnya dari rumah ke rumah.

Kebetulan Puan Zubaidah melalui kawasan surau. Dia meletakkan beg plastik kainnya di beranda surau sambil duduk untuk menghilangkan lenguh. Kertas surat khabar diambil dari plastik kain dan mengibas-ngibas mukanya yang kepanasan.

Jalan di hadapan surau lengang. Hanya beberapa buah motor yang lalu-lalang.

“Apalah agaknya yang sedang dibuat oleh Haeqal dan dua orang kembar itu,” Puan Zubaidah bercakap seorang diri sambil mengesat peluh di dahi.

Tambahnya lagi, “Entah-entah, mereka berada di Pusat Internet Desa. Sejak akhir-akhir ini suka benar mereka mengadap komputer. Aku mesti pergi ke sana lepas ini.”

Puan Zubaidah melihat sekeliling surau. Lenguh di kakinya masih belum hilang. Dia melihat ada seorang perempuan muda yang berjalan kaki di hadapan surau. Perempuan itu membawa sebidang tikar mengkuang yang digulung.

“Nak, marilah beli kain mak cik. Murah-murah saja,” Puan Zubaidah melambai-lambai
Tanganya ke arah perempuan itu.

“Kain sudah banyak di rumah, mak cik,” kata perempuan itu sambil berlalu begitu sahaja meninggalkan Puan Zubaidah.

Muka Puan Zubaidah merah padam. Dia mendengus sambil mula bangun dan membetulkan urat-uratnya.

“Kenapa orang tidak suka beli kain aku? Aku tahu kain aku ini murah-murah harganya. Berlagak betul orang kampung, mahu pakai kain mahal-mahal.” Puan Zubaidah menghamburkan kata-katanya. Dia puas walaupun bercakap seorang diri.

Puan Zubaidah menyedari ada sebuah motosikal berhenti di hadapan lorong surau. Seorang lelaki yang memakai topi keledar turun dan berjalan menuju ke arah Puan Zubaidah. Puan Zubaidah menyangka lelaki itu mahu membeli kainnya lalu dia membuka plastik dan memegang beberapa helai kain yang masih berbalut plastik.

“Ini kain baru, nak. Pilih dahulu, nanti harga mak cik boleh bagi murah.” Puan Zubaidah tersenyum. Lelaki itu tidak menjawab tawaran Puan Zubaidah.

Tiba-tiba, lelaki itu mengambil beg plastik kain dan membawa lari ke arah motosikal yang menunggu tadi. Puan Zubaidah terkejut dan menjadi gelabah. Dia lekas memakai seliparnya.

Belum sempat selipar tersarung di kaki, dia terjatuh kerana terlalu panik. Motosikal tadi sudah hilang dari pandangan. Puan Zubaidah bertempik dengan kuat hingga kedengaran hingga ke rumah-rumah penduduk kampung.

“Kenapa Puan Zubaidah?” tiba-tiba Ustaz Fauzi muncul di hadapan Puan Zubaidah sambil enjin motosikalnya belum dimatikan. Kebetulan dia baru pulang dari balai raya dan melalui jalan di hadapan surau.

“Ada… ada orang curi plastik kain aku!” Puan Zubaidah menangis teresak-esak.

Tanpa berfikir panjang, Ustaz Fauzi mengejar pencuri itu dengan motosikal. Dia sempat melihat pencuri yang membonceng sambil memegang plastik besar berisi kain milik Puan Zubaidah.

“Jangan lari!” jerit Ustaz Fauzi berulang-ulang kali.

Pencuri itu membelok ke lorong menghala ke rumah Puan Jamilah. Suasana menjadi kelam kabut. Penduduk kampung yang mula keluar dari rumah terkejut melihat Ustaz Fauzi mengejar pencuri tersebut.

“Cepat, cepat kejar! Pencuri, pencuri!” Ustaz Fauzi menambah kelajuan motosikalnya untuk memintas motosikal pencurit itu.



DI RUMAH
Puan Jamilah, Haeqal sedang leka mengajar Asyraf dan Juwaini tentang mengurus blog peribadi. Mereka duduk di beranda rumah sambil menunggu azan Zohor berkumandang. Tiba-tiba dia mendengar jeritan seseorang dari hujung jalan.

“Eh, itu suara Ustaz Fauzi. Mari kita tengok apa yang terjadi,” Asyraf menuruni anak tangga, diikuti oleh Juwaini dan Haeqal. Mereka berlari-lari ke tepi jalan.

“Ustaz Hassan sedang kejar pencuri. Cepat bagitahu ibu,” Asyraf menyuruh Juwaini memberitahu Puan Jamilah. Juwaini yang masih berkaki ayam berlari menuju ke rumah semula.

Puan Jamilah panik seketika apabila Juwaini memberitahunya dalam keadaan tercungap-cungap. Puan Jamilah cepat-cepat mencapai gagang telefon dan menghubungi pondok polis di kampungnya.

“Asyraf, carikan abang batu, cepat!” Haeqal meminta bantuan Asyraf.

Di tangan Haeqal sudah terdapat batu sebesar penumbuk. Haeqal memerhati dengan teliti sambil dia menyorok di sebalik semak samun di tepi jalan. Sebaik sahaja pencuri itu lalu di hadapan rumah Puan Jamilah, dia keluar secara tiba-tiba dan menyergah ke arah pencuri tersebut.

Hampir sahaja Haeqal ingin membaling batu di tangannya, pencuri tersebut terkejut dengan sergahan Haeqal lalu membaling beg plastik yang berisi kain ke tepi jalan.

“Bagaimana, dapat atau tidak pencuri tadi?” Puan Jamilah datang ke tempat Asyraf dan Haeqal berdiri.

“Motosikal dia laju, ibu. Tapi pencuri tadi ada campak plastik ke tepi jalan,” Asyraf menjawab pertanyaan ibunya.

Haeqal melihat kiri dan kanan jalan. Ustaz Fauzi memberhentikan motosikalnya di kawasan rumah Puan Jamilah. Kain-kain milik Puan Zubaidah bertaburan di tepi jalan.

“Asyraf, Juwaini, mari bantu abang kutip kain-kain ini. Hati-hati, tengok kiri kanan takut ada kereta lalu lalang,” Haeqal mengutip kain tersebut dan memasukkan semula ke dalam beg plastik.

“Kenapa, Ustaz Faizu? Apa yang terjadi?” Puan Jamilah bertanya kepada Ustaz Fauzi.

“Puan Zubaidah, dia dirompak di hadapan surau tadi. Kebetulan saya balik dari balai raya, lalu di hadapan surau dan terjumpa Puan Zabidah yang sedang menangis,” kata Ustaz Fauzi.

Haeqal mengangkat semula beg plastik dan memberi kepada Ustaz Fauzi.

“Mari, kita ke surau. Puan Zubaidah masih ada di sana,” Puan Jamilah mengangguk. Juwaini berlari-lari ke tangga rumah untuk memakai selipar.

Pada masa itu juga, dua orang anggota polis tiba di hadapan rumah Puan Jamilah. Ustaz Fauzi turut mengajak polis itu pergi ke surau untuk berjumpa dengan Puan Zubaidah.

Sebaik tiba di surau, mereka melihat Puan Zubaidah duduk bersila di beranda surau sambil beberapa orang kampung memujuknya. Dia masih teresak-esak. Puan Jamilah datang menggosok bahu Puan Zubaidah.

“Sabar, Puan Zubaidah. Pencuri tadi sudah melempar plastik kain di tepi jalan. Haeqal yang menjerkah pencuri tadi,” pujuk Puan Jamilah. Dia memapah Puan Zubaidah untuk bangun.

Ustaz Hassan menyerahkan semula beg plastik kain kepada Puan Zubaidah.

“Terima kasih, Puan Jamilah. Terima kasih, Ustaz Hassan. Saya tidak mampu untuk membalas jasa kamu semua,” tangis Puan Zubaidah semakin menjadi-jadi.

Puan Zubaidah menambah lagi sambil suaranya tersekat-sekat, “Selama… selama ini saya memandang serong kepada kamu semua. Sa… saya pentingkan diri sendiri.”

Puan Jamilah menepuk-nepuk bahu Puan Zubaidah. Dia tersenyum kerana Puan Zubaidah mula menginsafi kesilapannya sebelum ini. Puan Zubaidah memandang Haeqal, Asyraf dan Juwaini.

“Terima kasih, nak. Terima kasih sebab tolong selamatkan barang mak cik. Kalau barang itu dicuri, mak cik sudah kehilangan punca untuk berniaga,” kata Puan Zubaidah sambil mengusap kepala Haeqal.

“Tidak mengapa, mak cik. Kita hidup dalam satu kampung, mesti bantu membantu antara satu sama lain. Kalau ada orang susah, kita mesti tolong, barulah aman kampung kita. Kalau saling dengki mendengki, sampai bila kampung kita mahu maju ke hadapan,” Haeqal tersenyum.

Puan Zubaidah mengesat air matanya yang jatuh ke pipi.

“Sebenarnya… sebenarnya, saya cukup cemburu dengan orang kampung. Kain saya kurang laku sejak akhir-akhir ini. Sejak kematian suami, saya hidup seorang diri, tiada teman. Saya cemburu melihat Puan Jamilah. Walaupun masih kecil. Juwaini dan Asyraf rajin membantu Puan Jamilah. Saya… saya tiada anak.”

Puan Jamilah menundukkan kepalanya. Dalam hatinya, dia cukup simpati dengan nasib Puan Zubaidah. Dia berkata dalam hati, “Patutlah sejak kedatangan Haeqal, Puan Zubaidah selalu datang ke rumah aku.”

“Sudah, sudah. Mari pulang ke rumah masing-masing. Hari sudah semakin panas. Sekejap lagi penduduk kampung akan datang ke surau untuk bersolat Zohor.” Ustaz Fauzi meleraikan mereka semua.

Puan Jamilah memimpin tangan Puan Zubaidah untuk menghantarnya ke rumah. sambil berjalan di belakang Puan Jamilah, Haeqal berbisik kepada Asyraf dan Juwaini.

“Kita juga mesti bantu Puan Zubaidah.”


No comments:

Post a Comment