Friday, May 7, 2010

Bab 2 [Cerita lama]

Sebelum Tuan Mohamad pulang bersama Puan Shamsiah dan Khadijah, dia berpesan kepada Haeqal.

“Mulai hari ini, ayah mahu Haeqal belajar berdikari.”

Haeqal mengangguk walaupun wajahnya menunjukkan tanda sedih.

“Bila pula ayah mahu datang semula ke kampung?”

“Insya Allah setiap minggu ayah datang jenguk nenek dan Haeqal ya. Ayah dan ibu mahu menguruskan rumah lama dan rumah baru kita.” Tuan Omar memujuk Haeqal.

“Aiman jangan sedih-sedih ya.” Pesan Puan Shamsiah sebaik membuka pintu kereta. Malam gelap. Jam menunjukkan pukul 9.30 malam.

Sambil menurunkan tingkat cermin kereta, Khadijah masih sempat mengusik Haeqal. “Abang Haeqal jangan menangis.”

Haeqal mencebik mulut lalu dipeluk bahu oleh neneknya dan dibawa masuk ke dalam rumah. Haeqal jalan menunduk. Dia berfikir, apakah yang mahu dilakukan di kampung sepanjang ketiadaan ibu dan ayahnya. Tetapi dia teringat, ayahnya menyediakan sebuah laptop dan broadband supaya dia tidak bosan apabila keseorangan.

Haeqal masuk tidur lebih awal kerana badannya masih letih akibat perjalanan yang jauh.


KEESOKAN paginya, Haeqal bangun awal seperti biasa. Di rumahnya, Haeqal sudah biasa bangun pada awal dan memakai pakaian kemas walaupun dia tidak merancang untuk pergi ke mana-mana. Setiap pagi dia akan mengadap laptop untuk mengemas kini blog peribadinya yang dibina sejak akhir tingkatan dua.

Dia masih teringat pesan ayah malam semalam, “Ayah mahu Haeqal belajar berdikari.” Pesan itu akan sentiasa diingatinya.

Haeqal seorang yang tegas dan pandai memimpin kawan-kawannya. Di sekolah dia memegang jawatan sebagai ketua kelas Makmal Komputer. Dia mempunyai kemahiran untuk mengendalikan program-program asas yang terdapat dalam komputer di makmalnya terutama Microsof Word dan Microsoft Power Point.

Peluang itu Haeqal gunakan sebaik mungkin untuk belajar lebih dalam tentang komputer. Sejak akhir-akhir ini dia memfokuskan kepada bagaimana menggunakan internet dan blog secara kreatif.

Dia masih berasa kekok apabila tiada ibu bapa di sisi. Lalu Haeqal membuka laman facebook peribadinya dan menaip sesuatu.

“Abah, Haeqal rasa bosan. Tiada kerja yang boleh Haeqal buat disini.”

Haeqal menghantar rungutan pendeknya ke laman facebook ayahnya. Begitulah biasanya Haeqal berhubung dengan Tuan Omar dan Puan Shamsiah apabila Tuan Omar mempunyai urusan di luar Kuala Lumpur. Sambil menunggu balasan daripada Tuan Omar, neneknya memanggil dari dapur.

“Haeqal, mari tengok nenek buat colek ala kampung. Nanti balik ke rumah, boleh ajar adik Khadijah buat sendiri.”

“Sekejap, nenek.” Haeqal menutup laman facebook dan bergegas berjalan menuju ke dapur. Dia melangkah berhati-hati, kerana lantai gelegar rumah neneknya sudah ada yang mereput.

Tiba-tiba Aiman berhenti melangkah dan tercegat berdiri. Sambil memandang laptopnya spontan dia tersenyum dan mendapat satu idea. Untung juga berada di kampung. Dia akan mendapat suatu ilmu baru dan ilmu itu akan terus dicatat ke dalam blog peribadinya.

“Aku mahu kongsi resepi colek nenek di blog. Akan aku letakkan nama Colek Kampung Pokok Mangga.” Getus hati Haeqal.

Langkah Haeqal menuruni tangga simen. Dia terus duduk bersila di sisi neneknya dan menghadap lesung batu. Dia memerhati dengan teliti apa yang dilakukan oleh neneknya satu persatu.

“Aiman mahu belajar buat colek?”

“Mestilah. Nanti senang ibu boleh buat sendiri di rumah nanti.” Jawab Haeqal.

“Hah, inilah bahan-bahannya. Senang saja. Cili api, air asam jawa, belacan, kicap lemak manis dan gula. Nanti kita akan mesin sampai lumat semua bahan ini.”

“Campur sekali gus?” ada keraguan di hati Haeqal yang dirasakan perlu ditanya.

“Campur saja. Nah, Haeqal tolong mesinkan.”

Cepat-cepat tangan Haeqal memegang mesin pengisar automatik dan menekan butang on perlahan-lahan. Bahan-bahan yang dicampurkan tadi dikisar. Haeqal sedang mengingati semua langkah yang diajar oleh neneknya termasuk bahan-bahan mentah yang digunakan.

“Nanti bila dah siap kita tambah sedikit kacang tanah yang sudah digoreng dan ditumbuk hancur.” Tambah neneknya.

Haeqal mengangguk. Sebentar lagi dia akan mencatat perkara tersebut dalam blog peribadinya. Neneknya bangun untuk memanaskan periuk bagi memanaskan bahan-bahan yang telah dikisar tadi.

Tanpa pengetahuan neneknya, Haeqal membuka penutup bekas pengisar dan mencalit sedikit colek. Dia mahu mencuba rasa colek. Tiba-tiba neneknya menoleh, terus disergah Haeqal.

“Hah, jangan rasa lagi. Nenek nak masak dulu. Nanti Haeqal sakit perut baru tahu.”

“Mana haeqal tahu, nenek tak cakap awal-awal.” Kata Haeqal sambil tersengih menampakkan giginya yang tersusun.

Dia membantu neneknya menuangkan colek daripada bekas pengisar ke dalam periuk untuk dipanaskan. Haeqal menjilat sisa yang terlekat di celah jari lalu beredar semula ke depan laptopnya.

“Nenek, Haeqal nak keluar sekejap boleh?”

“Nak pergi ke mana?” Neneknya menyoal semula.

“Nak keluar jalan-jalan di kawasan kampung ini. Sudah lama Haeqal tak mengambil angin di sekitar kampung.”

“Usah pergi jauh-jauh ya. Jangan pulang lewat sangat.” Neneknya membenarkan.

Haeqal mengangguk kepala tanda patuh. Dia terus turun dari rumah dan berjalan menghala ke pintu pagar. Haeqal memerhatikan dengan teliti kawasan rumah neneknya. Ada cuma tiga batang pokok mangga tua. Salah satunya hampir tumbang ke bumi kerana terlalu tua. Yang betul-betul menghasilkan buah hanya dua batang pokok sahaja.

Sebaik sahaja keluar dari pintu pagar rumah, ada suara budak memanggil Haeqal dari kejauhan.

“Abang Haeqal!”

Bunyi suara itu memanggil dari arah jiran sebelah rumah neneknya. Haeqal berpaling ke belakang untuk melihat siapa yang memanggil.

“Abang Haeqal!” Suara lain pula yang memanggil, tapi masih berbunyi seperti budak kecil.

Haeqal menoleh sekali lagi ke arah suara itu datang. Dia tidak melihat sesiapa. Lalu dia meneruskan perjalanan menuju ke warung Pak Majid.

Warung Pak Majid tidak terlalu jauh dari rumah neneknya. Hanya mengambil masa sepuluh minit jika berjalan kaki. Sudah lama dia tidak duduk dan makan di warung itu. Dia sungguh rindu dengan suasana warung kampung.

“Pak Majid, roti canai telur satu. Air teh halia satu. Makan di sini ya.” Haeqal memesan makanan yang hendak dimakan.

Pak Zaki dan Haji Ghani yang turut berada di situ menoleh ke arah Haeqal. Mereka tersenyum.

“Kamu ini memesan makanan seperti orang tua.” Haji Ghani cuba mengusik Haeqal.

“Haeqal, cucu Hajjah Pun bukan?” celah Pak Zaki meminta kepastian.

Haeqal mengangguk seperti biasa. Dia tidak gemar berbual panjang kecuali jika bersama rakan-rakan sebayanya. Dia sangat mengenali kedua-dua orang kampung yang sudah lama menetap di kampung ini.

Selepas bertanya khabar Haeqal dan keluarganya, Pak Zaki dan Haji Ghani meneruskan perbualan mereka. Haeqal memasang telinga mendengar butir perbualan tersebut. Ada sesuatu yang dirasakan perlu diberi perhatian. Rupa-rupanya perbualan itu berkaitan dengan sejarah kampung, peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum ini di Kampung Pokok Mangga.

Haeqal terus memasang telinga.

Menurut Pak Zaki, kemudian Haji Ghani mengiyakannya, kampung ini mempunyai sejarah yang cukup meriah. Dahulu, kampung ini dihiasi dengan pokok-pokok mangga yang berbuah ranum di sepanjang jalan utama. Di setiap rumah-rumah penduduk kampung, paling kurang terdapat tiga hingga empat batang pokok mangga.

Apabila tiba musim buah-buahan, kampung ini kelihatan berwarna hijau kesemuanya. Buah-buah mangga yang masak ranum bergayutan pada pokok di sepanjang jalan. Buah-buah tersebut tidak habis terjual.

Kadangkala, budak-budak kampung boleh memetik buah mangga di mana sahaja tanpa meminta dari tuannya. Seolah-olah sudah ada persetujuan pemilikan bersama pokok-pokok mangga tersebut. Agaknya, disebabkan suasana inilah, kampung ini dikenali sebagai Kampung Pokok Mangga.

Selepas projek pembangunan kecil-kecilan datang ke kampung ini, sedikit demi sedikit pokok mangga itu ditebang untuk memberi laluan kepada pembinaan bahu-bahu jalan. Banyak pokok-pokok mangga yang ditebang di sekitar tanah-tanah lapang termasuk di tepi-tepi padang permainan.
Haeqal tidak boleh mendiamkan diri lagi. Dia merasakan peluang untuk bertanya terbuka luas. Dia bertanya dalam hati, kenapa ibu dan ayahnya tidak pernah menceritakan sejarah Kampung Pokok Mangga.

“Pak cik, Haeqal mahu bertanya boleh?”

Pak Zaki mengangkat kedua-dua keningnya, memberi laluan kepada Haeqal untuk bertanya.

“Kenapa sekarang Haeqal tengok sudah semakin berkurangan Pokok Mangga?”

Haeqal semakin berminat dengan perbualan Pak Zaki dan Haji Ghani. Dia tidak mahu berganjak dari tempat duduk. Rugi jika ditinggalkan bual ini.

“Sekarang sudah banyak projek pembangunan yang datang ke kampung kita Haeqal. Mereka menebang banyak pokok mangga tanpa peduli kepada sejarah kampung kita.” Jawab Pak Zaki.

Haji Ghani turut menceritakan beberapa sebab lain dan juga berkongsi tentang aktiviti harian orang kampung untuk menyara keluarga. Selepas penjualan buah mangga semakin berkurangan, orang kampung lebih menumpukan aktivti ekonomi kekampungan. Bah kata pepatah, kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Sebelum beredar dari warung Pak Majid, Haji Ghani berkata kepada Haeqal.

“Dulu Kampung Pokok Mangga ceria. Penduduknya sentiasa gembira. Tapi hari ini, suasana menjadi senyap. Tidak seceria dulu.”

Aiman seperti biasa, mengangguk kepala sambil beredar menuju ke rumah neneknya. Dalam hati dia berkata,

‘Mampukah aku menjadikan kampung ini ceria semula?’


No comments:

Post a Comment